Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities
Not a member yet
2148 research outputs found
Sort by
Analisis Pengurusan Infrastruktur Dakwah dari Perspektif Al-Quran
Pengurusan infrastruktur dakwah merujuk kepada usaha dalam menguruskan sumber infrastruktur dakwah secara sistematik dan efisien dengan menggunakan segala kemudahan yang telah tersedia. Namun dalam konteks Malaysia, kefahaman berkenaan pengurusan infrastruktur dakwah agak kurang diperjelaskan khusus melalui tinjauan al-Quran. Justeru kajian ini bertujuan mengetengahkan aspek pengurusan infrastruktur dari perspektif al-Quran dan menganalisis aktiviti yang berkaitan dengannya. Metode kajian adalah berbentuk kajian kualitatif dengan mengaplikasikan kaedah tafsir maudhu’i bentuk ketiga digunakan bagi mencapai objektif kajian. Hasil kajian telah mengenal pasti beberapa aspek penting perlu diketengahkan iaitu kerangka teori pengurusan infrastruktur dakwah menurut al-Quran yang terdiri daripada proses penyediaan dan penyelenggaraan infrastruktur dakwah. Implikasi kajian ini memberikan gambaran jelas tentang mekanisme pengurusan infrastruktur dakwah dalam konteks dakwah kontemporari menurut perspektif al-Quran
Hubungan antara Konsep Kendiri Fizikal dan Keluarga dengan Kesihatan Mental Murid Sekolah Rendah
Isu kesihatan mental murid sekolah rendah adalah perkara yang signifikan dan perlu dititikberatkan supaya mereka dapat berkembang dan berfungsi dengan sebaiknya. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara konsep kendiri fizikal dan keluarga dengan kesihatan mental dalam kalangan murid di salah satu sekolah daerah Larut Matang dan Selama, Perak. Kajian ini berbentuk kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik. Kaedah persampelan rawak mudah digunakan untuk memilih seramai 144 orang responden kajian dalam kalangan murid sekolah rendah di sebuah sekolah daerah Larut Matang dan Selama, Perak. Skala Konsep Kendiri Tennessee (SKKT) digunakan bagi mengukur tahap konsep kendiri fizikal dan keluarga sementara soal selidik Kekuatan dan Kesusahan (SDQ) digunakan untuk mengukur tahap kesihatan mental. Program Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 27 digunakan untuk menganalisis data secara deskriptif dan inferensi. Untuk mengenal pasti hubungan antara konsep kendiri fizikal dan keluarga serta kesihatan mental, analisis kolerasi turut digunakan dalam kajian ini. Keputusan kajian mendapati tahap konsep kendiri fizikal dan keluarga (M=3.08, SD=0.119) serta kesihatan mental (M=2.40, SD=0.242) berada pada tahap sederhana. Melalui ujian Korelasi Pearson mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara elemen-elemen konsep kendiri fizikal dan keluarga dan kesihatan mental murid dalam sampel yang dikaji. Hasil kajian ini dapat memberi maklumat yang berguna kepada ibu bapa, guru, kaunselor sekolah dan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha menangani masalah yang berkaitan dengan konsep kendiri dan kesihatan mental murid sekolah
Kemurungan dan Motivasi Belajar Murid
Motivasi belajar merupakan suatu elemen psikologi yang menggerakkan murid untuk belajar dan mencapai sesuatu kejayaan. Namun begitu, apabila pembentukan motivasi ini terganggu oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang tidak baik, maka murid mudah terdedah dengan gejala depresi. Lantaran itu, kajian ini dijalankan untuk menentukan hubungan antara tahap kemurungan dengan tahap motivasi belajar murid tingkatan empat di tiga buah sekolah menengah di daerah Hulu Langat, Selangor. Kajian berbentuk kuantitatif ini menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik. Pendekatan kuantitatif melalui tinjauan telah diaplikasikan kepada 375 orang murid tingkatan empat sebagai sampel kajian dengan menggunakan teknik persampelan rawak mudah. Soal selidik yang diadaptasi daripada kajian Rozaidi (2022) digunakan untuk mengukur tahap motivasi belajar dan Patient Health Questionnaire (PHQ-9) digunakan untuk mengukur tahap kemurungan. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Ujian Kolerasi Spearman-rho mendapati terdapat hubungan signifikan yang negatif antara tahap kemurungan dan tahap motivasi belajar murid di sekolah menengah (r= -0.11, p < 0.05) yang menunjukkan terdapat hubungan songsang antara kedua-dua pemboleh ubah yang dikaji. Implikasi kajian turut dibincangkan
Personaliti dan Tingkah Laku Mencederakan Diri dalam kalangan Remaja Sekolah Menengah
Kajian ini dijalankan untuk mengukur sama ada terdapat perbezaan personaliti dan tingkah laku mencederakan diri berdasarkan gender dan mengukur sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara lima jenis personaliti dengan empat jenis tingkah laku mencederakan diri dalam kalangan remaja sekolah menengah. Sampel kajian terdiri dari 204 remaja murid sekolah menengah daripada beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif yang menggunakan soal selidik iaitu Big Five Personality Inventory dan Aggression Questionnaire. Dapatan kajian mendapati personaliti keterbukaan didapati paling menonjol dengan nilai min = 3.43 dengan sisihan piawai, S.P = 0.42. Tahap tingkah laku mencederakan diri adalah pada paras sederhana. Min tertinggi bagi tingkah laku mencederakan diri adalah jenis serangan fizikal (Min = 2.94, S.P = 0.73). Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan untuk personaliti berdasarkan gender murid adalah jenis keterbukaan (T = 2.73, p = 0.007) dan kepercayaan (T = 3.65 p = 0.00). Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara personaliti terbukaan, ekstrovert, kepercayaan dan neurotisme dengan semua jenis tingkah laku mencederakan diri tetapi wujud hubungan yang signifikan di tahap sederhana antara personaliti kehematan dan serangan fizikal ( R = 0.47 , p = 0.00) dan personaliti kehematan dan kemarahan ( R = 0.44, p = 0.00). Oleh yang demikian,ibu bapa dan guru disarankan memahami dan mendekatkan diri dengan remaja agar dapat menjadi suri tauladan dan menghindari dari tingkah laku mencederakan diri
Pengaruh Kreativiti Sebagai Mediator Terhadap Hubungan Kepimpinan Distributif dengan Kelestarian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional
Kajian kuantitatif ini melihat persoalan bagaimana tenaga pengajar Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) melaksanakan kelestarian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) berdasarkan kepimpinan distributif dan kreativiti. Tujuan kajian ini adalah untuk memastikan sama ada pelaksanaan kelestarian PLTV dipengaruhi oleh kepimpinan distributif dan kreativiti tenaga pengajar. Selain itu, kajian ini memastikan sama ada kreativiti menjadi pengantara hubungan antara kepimpinan distributif dan kelestarian PLTV. Seramai 444 tenaga pengajar di ILJTM telah menyertai kajian ini sebagai responden. Kaedah analisis data yang digunakan dalam kajian ini menggunakan analisis Structural Equation Modelling (SEM). Dapatan kajian menunjukkan kesemua pemboleh ubah mendapat skor min yang tinggi iaitu skor kepimpinan distributif (m=4.31), kreativiti (m=4.10) dan kelestarian PLTV (m=4.35). Hasil analisis korelasi SEM menunjukkan hubungan yang signifikan dan positif pada aras sederhana bagi kepimpinan distributif (r=0.65, p<0.05) dan tinggi kreativiti (r=0.78, p<0.05) dengan kelelstarian PLTV. Manakala analisis pekali regresi laluan SEM menunjukkan kepimpinan distributif dan kreativiti secara signifikan mempengaruhi pelaksanaan kelestarian PLTV iaitu dengan nilai β masing-masing adalah β=0.10 dan β=0.34. Seterusnya ujian bootstrapping mengesahkan bahawa kreativiti merupakan pengantara separa antara hubungan kepimpinan distributif dengan kelestarian PLTV
Komponen Kecintaan dalam Pembinaan Negara Bangsa Berteraskan Pendidikan Karakter Melalui Pendidikan Sejarah di Malaysia
Pendidikan sejarah dan pendidikan karakter saling berkaitan dalam usaha membentuk individu yang bersemangat patriotisme dan berakhlak mulia. Pendidikan sejarah menyediakan konteks untuk memahami nilai-nilai seperti keberanian, keadilan, dan tanggungjawab, manakala pendidikan karakter mengukuhkan nilai-nilai ini melalui penghayatan dan amalan harian. Kajian ini bertujuan mendapatkan pandangan, cadangan dan kesepakatan pakar terhadap keperluan komponen kecintaan dalam pembinaan negara bangsa berteraskan pendidikan karakter melalui pendidikan sejarah di Malaysia menggunakan pendekatan Fuzzy Delphi (FDM). Pelaksanaan kajian ini melibatkan 13 orang pakar dalam bidang pendidikan sejarah. Kesemua pakar dikehendaki untuk menjawab soal selidik kajian berkenaan komponen kecintaan. Maklumat yang diperoleh dianalisis menggunakan penomboran segi tiga Fuzzy (Triangular Fuzzy Numbers) dan turutan (ranking) setiap item atau elemen kecintaan diperoleh menerusi Defuzzification Process. Analisis kaedah Fuzzy Delphi menunjukkan maklum balas kumpulan pakar terhadap komponen kecintaan berada pada tahap yang baik, iaitu dengan peratus kesepakatan bermula daripada 70% sehingga 90%. Dapatan kajian mendapati semua lapan item kecintaan telah diterima oleh pakar. Dapatan kajian yang diperoleh diyakini dapat membantu pengkaji terhadap kepentingan komponen kecintaan dalam pembinaan negara bangsa berteraskan pendidikan karakter melalui pendidikan sejarah di Malaysia
Kecerdasan Emosi Terhadap Prestasi Kerja Pegawai Penguat Kuasa: Kajian Semasa Pandemik Covid-19
Aspek kecerdasan emosi memainkan peranan penting terhadap prestasi kerja pegawai penguat kuasa di agensi PDRM, JIM, dan JKDM di Malaysia. Agensi ini merupakan badan penguat kuasa utama negara yang menawarkan perkhidmatan profesional. Kertas ini menyelidiki Kecerdasan Emosi terhadap Prestasi Kerja Pegawai Penguatkuasa: Kajian Semasa Pandemik Covid-19. Objektif utama dalam kajian ini untuk menguji kecerdasan emosi dalam dimensi motivasi, empati, kerohanian, dan kematangan terhadap prestasi kerja pegawai penguat kuasa. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif serta instrumen dari Kecerdasan Emosi serta Prestasi Kerja. Seramai 300 pegawai penguat kuasa menyertai soal selidik. Analisis data dilakukan dengan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 22 untuk menguji kesahan, kebolehpercayaan item, dan hipotesis kajian. Hasil kajian mendapati semua kecerdasan emosi berkait secara positif serta signifikan dengan prestasi kerja. Implikasinya adalah kecerdasan emosi penting untuk diterapkan dalam meningkatkan prestasi kerja pegawai penguat kuasa semasa wabak Covid-19. Kajian ini juga menegaskan bahawa kecerdasan emosi merupakan faktor penyumbang yang penting terhadap prestasi kerja pegawai penguat kuasa semasa pandemik, dan perlunya memberikan perhatian khusus kepada aspek ini
Memahami Strategi Manipulasi Naratif dan Modus Operandi Ekstremis: Keperluan Mendidik Masyarakat
Artikel ini membincangkan berkenaan keperluan mendidik masyarakat berkaitan kepentingan memahami strategi manipulasi naratif dan modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan atau individu ekstremis. Kajian ini dilaksanakan dengan metodologi kualitatif dengan temu bual separa struktur. Ia merangkumi pelbagai latar belakang peserta kajian. Ia termasuklah pempengaruh dan tokoh agama, pakar bidang bahasa, pakar bidang tasawuf, pakar kendalian rehabilitasi ekstremisme, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pencipta kandungan digital media sosial, produser media digital, menteri terdahulu di Jabatan Hal Ehwal Agama dan wakil organisasi bukan kerajaan. Hasil dapatan kajian dianalisis menggunakan kaedah analisa tematik. Dapatan kajian yang diperolehi melibatkan pandangan peserta kajian dari pelbagai latar belakang sosial yang menyumbang kepada kepentingan untuk memahami strategi dan manipulasi naratif serta modus operandi kumpulan dan individu ekstremis. Tiga dapatan utama adalah berkaitan salah faham dan manipulasi naratif jihad oleh kumpulan atau individu ekstremis, keperluan memahami strategi manipulasi naratif kepada masyarakat serta pendedahan kepada modus operandi ekstremis
Impak Ketidaktentuan Harga Minyak Kelapa Sawit Terhadap Masyarakat di Felda Lepar Hilir 1, Gambang
Tujuan kajian ini untuk menganalisis impak ketidaktentuan harga minyak kelapa sawit terhadap kesejahteraan hidup peneroka Felda. Hasil penjualan kelapa sawit merupakan sumber pendapatan yang utama bagi peneroka Felda untuk menampung kos penyaraan hidup keluarga mereka. Kajian ini meneliti tentang impak ketidaktentuan harga minyak kelapa sawit terhadap kesejahteraan hidup masyarakat Felda dan dianalisis melalui tiga objektif iaitu demografi, impak positif dan impak negatif. Kajian ini menghasilkan satu alternatif lain dalam mengatasi masalah ketidaktentuan harga minyak kelapa sawit ini bagi mengelakkan kesejahteraan hidup peneroka Felda terjejas. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif melalui pendekatan kajian survei yang melibatkan seramai 100 orang peneroka di Felda Lepar Hilir 1, iaitu sebanyak 6 blok yang telah dipilih untuk mengedarkan borang soal selidik. Hasil kajian mendapati bahawa ramai peneroka yang mempunyai pekerjaan sampingan yang dijadikan sebagai pendapatan sampingan mereka daripada mengharapkan duit minyak kelapa sawit sahaja. Cadangan kajian masa depan ialah membuat kajian dengan menggunakan kaedah kualitatif melalui temu bual secara lebih mendalam pada setiap peneroka untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai impak ketidaktentuan harga minyak kelapa sawit terhadap kesejahteraan hidup mereka. Kajian ini juga dapat memberi banyak peluang kepada pengkaji untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta pengalaman kerana dapat mengaplikasikan kaedah kuantitatif melalui borang soal selidik yang akan diedarkan secara rawak kepada peneroka Felda. Secara keseluruhannya, diharapkan agar kajian ini dapat membantu pengkaji dalam menyelidik impak daripada berlakunya ketidaktentuan harga minyak kelapa sawit ini terhadap kesejahteraan hidup peneroka Felda
Exploring the Black Box of Knowledge Capture in Public Complaint Management
This paper examines the risk of knowledge loss in managing public complaints. Drawing upon the literature on public complaint management and knowledge management (KM), in-depth interviews were carried out with the Public Complaint Bureau (PCB), a government agency responsible for handling public complaints. Interview data was meticulously recorded and transcribed to elicit an understanding of prominent factors of knowledge capture and knowledge organisation in handling public complaints. Focus-group discussions were also carried out to generate further insights. Documentation such Standard Operating Procedures (SOP), circulars and public reports were scrutinised to corroborate interview data. Research findings strongly indicate that inadequate knowledge capture and organisation have created a ‘black box’ in public complaint management. This black box has led to an ambiguous operating environment for PCB employees, caused by knowledge dissipation and evaporation. These issues stem from diverse individual knowledge practices and poorly designed knowledge flows within the organisation, resulting in significant knowledge loss. This qualitative research is expected to benefit organisations, mainly the government in improving knowledge capture and organisation practices by critically considering implementing KM efforts to avoid severe knowledge loss. It will also benefit the academic community for future reference