2882 research outputs found
Sort by
Peranan Kesusasteraan Melayu Dalam Bidang Pendidikan
Kajian ini dilakukan untuk meninjau kesesuaian beberapa karya sastera untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dalam institusi pendidikan. Di samping itu, kajian ini berusaha memperlihatkan unsur-unsur pendidikan yang sesuai yang terdapat di dalam dua karya terpilih. Pengkaji menggunakan Teori Konseptual Kata Kunci bagi menjalankan kajian ini dengan menyelaraskan penggunaan ketigatiga prinsrip yang wujud di dalam teori untuk di aplikasikan di dalam karya. Tiga prinsip yang digunakan ialah prinsip kesan, prinsip kepengarangan dan prinsip pemilihan kata. Kajian ini juga memperlihatkan kebaikan menggunakan dan memilih karya sastera yang bersesuaian dengan pendidikan bagi melihat kesan yang boleh diperolehi oleh pembaca melalui karya yang bersesuaian dalam pembangunan bahasa di dalam diri mereka.
Kata Kunci: Unsur pendidikan, Teori Konseptual Kata Kunci, Pembangunan bahasa,Prinsip kesan, Prinsip kepengarangan dan Prinsip pemilihan kata
Unsur Realisme Dalam Ranjau Sepanjang Jalankarya Shahnon Ahmad: Aplikasi Teori Fungsionalisme
Realisme merupakan sebuah realiti gambaran kehidupan masyarakat yang kerap digambarkan oleh penulis teks sastera kontemporari serta berkembang dengan pesat pada hari ini. Unsur realiti adalah satu perkara yang perlu wujud dan diwujudkan oleh pengarang dalam setiap karya sastera untuk menjaga kualiti sesebuah karya itu sendiri. Bilangan pengkarya yang sejati dan dekat dengan masyarakat sangat kurang jumlahnya daripada penulis yang membawa isu tidak perlu dalam masyarakat. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti unsur-unsur realisme dan membincangkan fungsi-fungsi realisme dalam Ranjau Sepanjang Jalan kepada masyarakat seterusnya mengaplikasikan teori Fungsionalisme terhadap unsur realisme dalam teks tersebut. Kaedah kajian yang digunakan untuk menganalisis objektif adalah kualitatif dengan menggunakan beberapa cara iaitu kaedah pemerolehan data dan menganalisis hasil data. Unsur realisme dalam
novel ataupun karya merupakan cerminan penulis yang jujur dan amanah untuk merubah dan memanjangkan sesebuah isu kepada pihak berwajib. Unsur tersebut juga dilihat
sebagai penyeri dan suatu keindahan yang ditafsirkan melalui sebuah penulisan. Unsur realiti yang dibawakan oleh Shahnon Ahmad seperti kekeluargaan, masyarakat, agama, adat dan budaya dalam Ranjau Sepanjang Jalan dapat meningkatkan kualiti serta perkembangan kesusasteraan kontemporari di Malaysia. Realisme yang dipaparkan dalam teks juga dilihat sangat dekat dengan pemikiran dan minda masyarakat berkaitan situasi kemiskinan yang dialami oleh penduduk di pedalaman Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kajian ini diharap dapat memberi perubahan kepada pihak tertentu,
masyarakat serta individu berkaitan kepentingan teks kesusasteraan dalam menyampaikan isu yang benar-benar terjadi dalam masyarakat seterusnya menjaga dan mengharmonikan kehidupan masyarakat di Malaysia.
Kata kunci: Realisme, Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad, Fungsionalisme, Talcott Parson
Pengurusan Konservasi Terhadap Koleksi Artifak Perang Dunia Ke II Di Muzium Perang Bank Kerapu, Negeri Kelantan.
Kursus Projek Penyelidikan merupakan kursus wajib bagi pelajar tahun akhir dalam Pengajian Warisan. Dalam memenuhi sukatan kursus ini, satu kajian mengenai Pengurusan Konservasi Terhadap Koleksi Artifak Perang Dunia ke II di Muzium Perang Bank Kerapu, Negeri Kelantan telah dijalankan. Kajian ini dijalankan dengan memfokuskan kepada objektif kajian yang telah dipilih. Terdapat tiga objektif kajian yang telah dipilih iaitu mengkaji pengurusan konservasi terhadap koleksi artifak Perang Dunia ke II di Muzium Perang Bank Kerapu, mengidentifikasikan jenis-jenis kerosakan pada artifak Perang Dunia ke II dan juga untuk mengetahui proses pemeliharaan yag dijalankan oleh pihak muzium terhadap koleksi artifak Perang Dunia ke II. Ketiga-tiga objektif kajian ini dicapai melalui kaedah-kaedah yang digunakan dalam metodologi kajian. Penggunaan metodologi kajian dapat membantu menjawab objektif kajian dengan lebih terperinci. Kajian yang dijalankan ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk kajian pada masa akan datang dan bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme kepada masyarakat melalui kajian yang dilakukan yang berkaitan dengan koleksi artifak hasil tinggalan sejarah Perang Dunia II yang banyak memberi kesan kepada masyarakat lampau
A study on challenges distribution zakat to asnaf during Covid 19 in Selangor
The Covid-19 outbreak has shifted everyone's priorities. This has put pressure on the global health industry, which has impacted the global economy. The purpose of this study is to look at the issues that Selangor zakat beneficiaries encounter in the COVID-19 situation in Selangor. This is a qualitative research project. Three impoverished zakat beneficiaries practitioners provided data via questionnaires and interviews, which were performed via online interviews and phone conversations. Atlas.ti was used to create the themes. For example, expertise, service quality, and incentives for zakat delivery to asnaf
Adat Ngulit Dalam Masyarakat Kaum Orang Iban Di Sarawak. Kajian Kes: Tuai Rumah Lenus, Nanga Ranan, Kanowit
Penelitian kajian ini merupakan kajian berdasarkan di kawasan rumah panjang Tuai Rumah Lenus, Nanga Ranan, Kanowit yang bertujuan untuk mengetahui bagaimana adat ‘ngulit’ atau adat kematian dilaksanakan di kawasan rumah panjang tersebut selain bertujuan mengkaji pantang larang yang diamalkan oleh penduduk rumah panjang tersebut sepanjang tempot adat ‘ngulit’ ini dilaksanakan. Selain daripada itu, kajian yang dijalakan ini dapat membincangkan langkah pemeliharaan dan pengekalan adat ini dalam masyarakat Iban di kawasan rumah panjang Tuai Rumah Lenus, Nanga Ranan, Kanowit Sarawak. Tiada sumber yang jelas yang dapat menyatakan kewujudan asal usul masyarakat Iban. Akan tetapi, melalui tradisi lisan masyarakat Iban yang diceritakan dari mulut ke mulut yang diturunkan dari generasi ke generasi mempercayai bahawa kewujudan asal usul masyarakat Iban bermula di sebuah tapak yang dikenali sebagai Tampun Juah. Ini kerana banyak bukti kewujudan sebuah kerajaan Dayak purba dibawah pemerintahan ‘Orang Panggau Libau’ (Dewa Dewi
Masyarakat Iban) ribuan tahun yang lalu. Tapak ini berdekatan sempadan Kampung Mongkos Serian Sarawak dan Kampung Segumon Kalimantan Barat. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah kualitatif dengan menggunakan teori pendekatan moral. Kajian ini juga menggunakan kaedah pengumpulan data melalui temubual, data primer, data sekunder dan persampelan ‘snowball’. Hasil daripada data yang diperolehi membolehkan pengkaji mengetahui dengan lebih mendalam mengenai adat ini. Pada akhir bab ini, pengkaji akan menjelaskan pandangan dan cadangan kepada beberapa pihak khusunya dalam melestarikan adat ‘ngulit’ ini terus dipertahankan
Keunikan Karya Lukisan Dinding Di Sekitar Georgetown Pulau Pinang
Kajian ini merupakan sebuah kajian yang mengupas dan membincangkan mengenai keunikan yang telah ditonjolkan oleh karya lukisan dinding yang berada di sekitar bandar Georgetown Pulau Pinang. Namun terdapat beberapa permasalahan yang timbul dalam mengekalkan penghasilan karya lukisan dinding ini. Antaranya adalah, wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melakukan contengan terhadap karya lukisan dinding yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Selain itu, kebanyakan masyarakat di Malaysia tidak memahami akan keunikan yang ingin disampaikan oleh sang pelukis terhadap lukisan dinding yang dihasilkan serta ada di antara masyarakat yang menganggap bahawa lukisan pada dinding bangunan ini telah mencemarkan keharmonian pandangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia. Maka, kajian penyelidikan ini perlulah dijalankan bagi mengenal pasti keunikan karya lukisan dinding di bandar bagi mengetahui tentang karya lukisan ini menjadi tarikan utama terhadap pelancong dan mengkaji pandangan masyarakat terhadap kepentingan karya lukisan dinding di Malaysia. Kajian yang dijalankan ini adalah kajian yang menggunakan kaedah kualitatif dan kaedah kuantitatif. Kaedah kualitatif ini adalah dimana pengkaji menggunakan bantuan kaedah kepustakaan dan melakukan kaedah pemerhatian ketika berada di kawasan lapangan. Manakala, kaedah kuantitatif pula adalah sebuah kaedah dimana pengkaji mengedarkan kajian soal selidik mendapatkan data mengenai pandangan masyarakat terhadap kepentingan karya lukisan dinding di Malaysia. Hasil dapatan yang diperolehi adalah keunikan yang telah ditonjolkan pada karya lukisan dinding di bandar Georgetown ini telah menarik perhatian ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara. Manakala, daripada pengedaran soal selidik kepada masyarakat ini telah menyatakan bahawa karya lukisan dinding membawa kepentingan terhadap individu, masyarakat dan negara. Oleh itu, karya lukisan dinding ini seharusnya dikekalkan kerana ianya bukan sahaja memberikan keunikan kepada negara malahan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada ekonomi negara terutamanya industri pelancongan
Unsur Nilai Dalam Teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan: Satu Pengaplikasian Teori Pengkaedahan Melayu Oleh Hashim Awang (1989)
Kajian ini merupakan sebuah kajian cerita rakyat yang menjalankan penelitian terperinci terhadap unsur nilai yang terkandung di dalam cerita-cerita rakyat Melayu. Hal ini demikian kerana cerita rakyat adalah salah satu media pendidikan yang boleh dimanfaatkan sebagai acuan dalam pembentukan kebudayaan masyarakat yang progresif. Disampaikan melalui lisan dengan segala perisian yang padat dan sarat dengan kepelbagaian unsur nilai yang boleh digarap menerusi cerita rakyat Melayu terpilih. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengisi kelompongan kajian-kajian lepas yang lebih berfokuskan kepada aspek nilai dan moral dalam cerita-cerita rakyat tanpa
mengetengahkan teks Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti dan menganalisis unsur nilai berdasarkan teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan terdapat kebudayaan masyarakat Melayu. Namun begitu, pengkaji telah membataskan kepada 20 cerita rakyat Melayu terpilih. Seterusnya, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif secara kepustakaan dan analisis teks. Teori pengkaedahan Melayu turut diaplikasikan bagi tujuan pengukuhan. Bahkan ia turut menerapkan pendekatan moral, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan dakwah. Hasil analisis membuktikan bahawa cerita rakyat Melayu tidak dinafikan sarat dengan pengajaran bahkan padat dengan nilai-nilai yang mempamerkan kebudayaan masyarakat Melayu yang telah menjadi norma kehidupan sejak sekian lama, dalam pada itu menjadi wadah dalam pembentukan insaniah dan sahsiah yang bermanfaat
Pengurusan Koleksi Alat Permainan Tradisional Wayang Kulit Di Muzium Negeri Kelantan
Bagi memenuhi keperluan sukatan tahun akhir bagi Ijazah Sarjana Muda bagi kursus Pengajian Warisan, suatu kajian telah dijalankan iaitu kajian berkenaan Pengurusan Koleksi Alat Permainan Tradisional Wayang Kulit bertempat di Muzium Negeri Kelantan, Kelantan Darul Naim. Bagi kajian kajian ini, terdapat dua objektif yang menjadi tujuan utama kajian ini dijalankan iaitu mengenal pasti konsep sebenar pengurusan koleksi permainan tradisional wayang kulit yang dilakukan di Muzium Negeri Kelantan, Mengetahui prosedur pengurusan koleksi permainan tradisional wayang kulit serta mengkaji kaedah penjagaan yang berkesan yang mampu menjaga keaslian permainan tersebut. Selain itu, kajian ini juga dapat menghuraikan proses – proses dengan lebih terperinci berkaitan sistem penjagaan alatan tradisional yang dilakukan oleh kakitangan-kakitangan Muzium. Metodologi yang digunakan di dalam kajian ini memudahkan pengkaji untuk mendapatkan data. Akhir sekali, tujuan kajian ini dijalankan adalah bagi memberi pendedahan kepada masyarakat bagaimana sistem pengurusan penjagaan tinggalan-tinggalan sejarah dijaga nilai keasliannya agar tidak mudah rosak dan pupus ditelan zaman
Pengurusan Warisan Seni Bina : Tinauan Di Istana Balai Besar, Alor Setar
Kajian ini bertujuan meneroka sejarah pembinaan dan fungsi Istana Balai Besar Alor Setar serta menganalisis penglibatan pihak bertanggungjawab dalam pengurusan warisan bagi memelihara dan memulihara Istana Balai Besar, Alor Setar. Kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kualitatif iaitu temubual dan kajian kepustakaan. Penglibatan pihak bertanggungjawab dalam pengurusan warisan bagi memelihara dan memulihara Istana Balai Besar, Alor Setar ditinjau dengan menggunakan teori Fungsionalisme oleh Talcott Parsons 1937. Hasil dapatan kajian melalui temubual yang dianalisis menunjukkan majoriti responden mempunyai pengetahuan tentang sejarah pembinaan dan fungsi Istana Balai Besar Alor Setar. Penglibatan responden di dalam pengurusan Istana Balai Besar adalah ditahap baik dan memuaskan. Namun begitu, faktor keizinan pihak kerajaan negeri menyebabkan aktiviti pengurusan yang dilakukan terbatas. Oleh itu, aktiviti pengurusan terbaik yang dapat dilakukan oleh pihak responden adalah melalui penyebaran maklumat berkaitan Istana Balai Besar Alor Setar kepada orang awam
Mitos Beras Terbakar Di Langkawi : Satu Kajian Monomyth
Tesis ini adalah mengenai “Mitos Beras Terbakar di Langkawi: Satu Kajian Monomyth”. Objektif bagi kajian ini adalah mengenal pasti asal usul sebenar mitos Beras Terbakar dan menganalisis mitos Beras Terbakar. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu temu bual dan pendekatan teori Monomyth oleh Joseph Campbell untuk mengumpul dan menganalisis data kajian. Pengkaji membuat sesi temu bual bersama dengan Ku Halim Bin Ku Hasan untuk memperoleh maklumat berkaitan dengan asal usul sebenar mitos Beras Terbakar dan pendekatan teori Monomyth oleh Joseph Campbell iaitu merangkumi tiga struktur dan 17 tahap digunakan untuk menganalisis mitos Beras Terbakar. Kajian ini berjaya mengenal pasti asal usul sebenar mitos Beras Terbakar. Selain itu, penemuan daripada kajian ini adalah Datuk Pekema Jaya melalui tiga struktur dan beberapa tahap dalam Hero’s Journey yang dibentangkan oleh Joseph Campbell dalam pengembaraannya sebagai wira dalam mitos Beras Terbakar. Terdapat empat tahap dalam struktur ‘Departure’ yang dilalui oleh Datuk Pekema Jaya dalam pengembaraannya sebagai wira dalam mitos Beras Terbakar iaitu ‘The Call to Adventure’, ‘Supernatural Aid’, ‘Crossing the Threshold’ dan ‘Belly of the Whale’. Seterusnya, Datuk Pekema Jaya melalui semua tahap pada struktur ‘Initiation’. Pada struktur ‘Return’ Datuk Pekema Jaya hanya melalui tahap ‘Rescue from Without’ dan ‘Master of Two Worlds’ dalam pengembaraannya sebagai wira dalam mitos Beras Terbakar