RUMPUN (E-Journal)
Not a member yet
    151 research outputs found

    Kepercayaan Lama Dalam Budaya Bukan Benda Masyarakat Kimaragang Menerusi Cerita Rakyat Terpilih

    Full text link
    Pemaparan kepercayaan lama budaya bukan benda yang menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat Suku Kimaragang manjadi inti pati makalah ini. Oleh hal yang demikian, makalah ini berusaha untuk meneliti aspek budaya bukan benda yang berkaitan dengan amalan dan kepercayaan dalam kehidupan masyarakat tersebut secara etnografi.Penelitian kualitatif berkenaan mengaplikasikan teknik temu bual dan analisisi dokumen. Data-data yang diperolehi juga diperkukuhkan menerusi teknik kepustakaan. Bertunjangkan tafsiran berkaitan budaya bukan benda oleh A.Aziz Deraman, penulis mendeskripsi dan mengsignifikasikan makna, fungsi dan kepentingan kepercayaan dalam masyarakat tradisi Kimaragang.Kepercayaan yang diyakini mampu menjadi pendoman, rujukan dan amalan yang dapat memupuk nilai-nilai positif, menguatkan spiritual dan menentukan taraf sosial seseorang. Kepercayaan lama itu termasuklah kepercayaan kepada ‘lumaag’, alam kayangan, ‘kinoringan’, ‘tatod’ dan makhluk halus. Oleh itu, menyedari kepentingan untuk mengetahui kepercayaan yang hampir dilupakan ini, beberapa usaha perlu diupayakan untuk mengambil beberapa perkara positif daripadanya bagi tujuan mengawal tingkah laku, pemikiran dan menambah pengetahuan khalayak

    Fungsi Kronemiks Sebagai Elemen Komunikasi Bukan Lisan dalam Adat Perkahwinan Melayu

    Full text link
    Kajian ini bertujuan untuk menganalisis fungsi kronemik atau masa dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu di negeri Perak. Masa memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan kerana semua aturan acara yang dirancang perlu mengambil kira faktor masa atau kronemik ini.  Hal ini penting bagi memastikan acara atau majlis perkahwinan yang diatur dapat berjalan dengan baik dan memudahkan pelbagai pihak yang terlibat.  Bagi menjalankan kajian ini, kaedah kualitatif digunakan dengan mengambil pendekatan etnografi bagi melihat sendiri perjalanan majlis perkahwinan masyarakat Melayu dan bagaimana masa atau kronemik berfungsi dan digunakan bagi mengatur perjalanan majlis. Penyelidik telah menyertai sepuluh majlis perkahwinan yang memakan masa hampir empat bulan. Dalam tempoh ini, penyelidik berada dalam majlis dan bertindak selaku jurukamera dengan melibatkan diri sebagai peserta dan pemerhati kepada majlis tersebut.  Berbekalkan buku nota sebagai catatan lapangan, sebuah kamera DSLR dan kamera video, semua peristiwa dirakam untuk dianalisis.  Selain itu, tetamu dalam majlis, tuan rumah dan 15 orang responden terpilih turut ditemu bual untuk dianalisis pandangan mereka tentang hal berkaitan kronemiks. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan masa merupakan satu elemen utama dalam menjayakan sesebuah majlis perkahwinan.  Dapatan dalam kajian ini juga menunjukkan bahawa acara-acara dala majlis perkahwinan mengambil kira faktor agama seperti waktu solat, keberadaan masyarakat dan jiran tetangga serta saudara-mara yang akan menghadiri majlis tersebut.  Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian dalam menjayakan sesebuah majlis perkahwinan

    Kreativiti Perwatakan dan Sejarah dalam Novel Wanita Rawa Terakhir

    Full text link
    Genre novel sejarah sering mempertentangkan antara isu fakta dengan fiksi. Wacana ini antara yang diajukan dalam kajian terhadap novel Wanita Rawa Terakhir. Karya ini merupakan novel sulung Nor Faridah Abdul Manaf, terbitan Silverfish Books pada tahun 2022. Novel ini menggarap latar pensejarahan orang Rawa yang selama ini tersembunyi. Nor Faridah Abdul Manaf menggali sejarah kedatangan orang Rawa dari Aceh ke Tanah Melayu, khasnya ke Raub, Pahang. Permasalahan kajian ini melihat bagaimana kedudukan Wanita Rawa Terakhir dapat dipertanggungjawabkan sebagai novel sejarah dengan meneliti antara kehadiran fakta dengan fiksi berdasarkan unsur realisme dan imaginasi watak-wataknya. Kerangka kajian ini memanfaatkan konsep novel sejarah yang antaranya dikemukakan Mohamad Saleeh Rahamad dalam buku Pencerakaan dalam Novel Sejarah (2005). Dapatan kajian mengemukakan bahawa pengarang Nor Faridah Abdul Manaf mengangkat kedudukan sejarah Rawa dengan memperagakan tokoh sebenar. Turut berlaku penggemblengan teknik campur tangan pengarang dalam pembikinan watak rekaan. Menerusi novel ini pengarang memperlihatkan hubungan sastera dan sejarah orang Rawa yang digubah semula secara rinci antara fakta dengan kreativiti. Namun, ia bukanlah pula bertujuan untuk mengubah sejarah Rawa yang asal. Kepentingan kajian novel Wanita Rawa Terakhir ini adalah untuk membangunkan naratif sejarah Rawa di negara ini khasnya kepada generasi baru. Sejarah langka Rawa dapat ditinjau, dipermudah dan diperelok menerusi tulisan kreatif imaginatif seperti novel untuk dinikmati generasi muda khususnya

    Penggunaan Kata ‘Hamba’ Dalam Teks Hikayat Terpilih Abad Ke-17 Dan Abad Ke-19

    Full text link
    Setiap bangsa di dunia mempunyai bentuk dan perkembangan sastera dan bahasanya yang tersendiri. Setiap hikayat menampilkan keunikan kepengarangan pencipta dan menonjolkan akal budi bangsa Melayu. Kajian ini bertujuan untuk meneroka kandungan teks hikayat pada abad ke-17 dan abad ke-19 dari aspek penggunaan kata ‘hamba’. Untuk tujuan ini, kajian menggunakan enam teks hikayat untuk dianalisis. Kajian ini bertitik tolak daripada kajian lalu yang kurang pendedahan tentang jenis penggunaan kata, pembentukan afiks dan perubahan makna yang tertentu dalam teks abad yang lalu. Hal ini mewujudkan persoalan yang jelas tentang jenis pembentukan dan pengunaan kata selain kandungan teks pada abad tersebut. Keunikan kandungan teks juga mendorong untuk meneroka dengan lebih lanjut. Kajian ini mengaplikasikan metod kualitatif dan huraian secara deskriptif. Dalam kajian ini, sebanyak enam data teks akan dianalisis. Kajian ini dianalisis dari aspek morfologi dan semantik bagi meneliti bentuk penggunaan kata ‘hamba’ dalam teks hikayat abad yang dipilih. Penggunaan perisian Malay Concordence Project membenarkan data aspek morfologi, dari pelbagai bentuk afiks dijana. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perluasan makna kata ‘hamba’ dan perbezaan bentuk afiks berdasarkan yang dikaji dari sudut morfologi dan semantik dalam hikayat abad ke-17 dan abad ke-19. Selain itu, kajian menunjukkan penggunaan kata ‘hamba’ dalam teks hikayat yang dikaji majoritinya diketengahkan dalam bentuk afiks diper- manakala bentuk afiks diper-...lah pula adalah yang paling kurang digunakan

    Kepenyairan Yahya M.S Dan Suhaimi Haji Muhammad: Bandingan Tokoh Penyair Prolifik Brunei Dan Malaysia

    Full text link
    Yahya M.S dan Suhaimi Haji Muhammad ialah penyair prolifik di negara masing-masing. Di Brunei, Yahya M.S sebagai salah seorang pelopor dalam penulisan puisi bercorak keislaman. Di Malaysia, Suhaimi Haji Muhammad sebagai pelopor aliran surrealism dan membawa aliran yang menyimpang daripada puisi-puisi sezamannya. Kedua-dua tokoh puisi ini hebat memanfaatkan genre puisi untuk mengkritik, mengupas isu masyarakat, menegur ketidakwajaran masyarakat, mendidik akhlak dan menjadikah puisi sebagai wadah berdakwah. Kedua-dua tokoh puisi ini bukan sahaja galak mengemukakan pelbagai isu universal dan semasa, malah juga menghasilkan puisi yang unik dengan gaya bahasa yang tinggi hinggakan kedua-duanya pernah dikategorikan sebagai penyajak kabur. Persamaan latar penyair ini mewajarkan kedua-duanya untuk dibandingkan. Objektif penelitian ini adalah untuk membandingkan ketokohan penyair melalui latar belakang penyair serta mengupas kecenderungan kedua-dua tokoh dalam menghasilkan karya. Oleh yang demikian, penelitian ini bertolak dari persoalan sejauh mana persamaan dan perbezaan latar belakang Yahya M.S dan Suhaimi Haji Muhammad memberikan impak serta mempengaruhi penghasilan karya mereka. Penelitian terhadap perbandingan tokoh dan kepenyairan amat penting dilakukan bagi mencerminkan kecenderungan kedua-dua tokoh penyair prolifik ini dalam menghasilkan karya

    Sultan Mahmud Badaruddin II, Wira Masyarakat Palembang

    Full text link
    Makalah ini bertujuan membincangkan kejayaan Sultan Mahmud Badaruddin II dalam teks Syair Perang Menteng dalam mempertahankan Palembang daripada dikuasai oleh Belanda. Kejayaan yang diperolehi oleh beliau dalam peperangan ini mewajarkan beliau dinobatkan sebagai wira masyarakat Palembang. Bagi memperdalamkan perbincangan berkaitan keperwiraan Sultan Mahmud Badaruddin II, makalah ini bersandarkan kepada teori wira yang diperkenalkan oleh Bowra.C (1966). Bowra meletakkan empat ciri yang harus ada pada seorang wira. Pertama wira haruslah mempunyai kekuatan fizikal yang berbeza dengan manusia di sekitarnya. Kedua, kelahiran wira dengan berlakunya peristiwa aneh. Ketiga, seorang wira harus terlibat dengan peperangan dan keempat ialah keelokan fizikal seperti rupa paras. Selain itu, konsep wira yang diutarakan oleh Shaharuddin Maaruf (2014) juga diselitkan bersama. Berdasarkan empat ciri wira yang dikemukakan oleh Bowra hanya tiga ciri sahaja yang bersesuaian dengan makalah ini iaiatu wira haruslah mempunyai kekuatan fizikal, kedua terlibat secara fizikal di medan peperangan dan yang terakhir ialah keelokan fizikal iaitu rupa paras. Berdasarkan analisis dilakukan membuktikan bahawa Sultan Mahmud Badaruddin II wajar di angkat sebagai wira masyarakat Palembang berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diperoleh

    Elemen Eko Kritik Dalam Puisi “Permintaan Alam” Karya A. Halim Ali

    Full text link
    Manusia dan alam sekitar sentiasa berinteraksi antara satu dengan yang lain. Aktiviti manusia yang berlaku secara seimbang mempu mengekalkan kelestarian alam. Namun begitu, sekiranya aktiviti manusia berlaku secara tidak terkawal akan meyebabkan berlaku kemusnahan sacara besar-besaran terhadap alam ini. Justeru kajian mengupas dan menganalisis elemen-elemen eko kritik yang terdapat dalam puisi “Permintaan Alam” karya A. Halim Ali. Puisi ini dimuatkan dalam antologi puisi “Permintaan Alam” yang merupakan salah sebuah sajak dalam kumpulan puisi sulung penyair yang diterbitkan pada tahun 2000. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan mengaplikasikan pendekatan analisis kandungan untuk mengenal pasti elemen-elemen eko kritik dalam puisi yang dipilih. Dapatan kajian menunjukkan terdapat empat tema utama eko kritik dalam puisi ini, iaitu kesan pemanasan global dan perubahan iklim, kemusnahan kepelbagaian biodiversiti, kemusnahan ekosistem lautan dan kemusnahan habitat flora dan fauna akibat proses pembandaran dan aktiviti perindustrian yang tidak terkawal. Dapatan kajian juga menunjukkan wujudnya elemen kritikan, kebimbangan dan keprihatinan penyair terhadap isu alam sekitar yang disuarakan melalui penggunaan metafora, simbolisme dan perlambangan. Dalam puisi ini, penyair menyuarakan kebimbangan dan kritikan dengan menggunakan perlambangan permohonan daripada alam agar manusia menyediakan semula makanan, menggantikan tumbuha-tumbuhan dan mengembalikan habitat flora dan fauna yang telah mengalami kemusnahan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal. Secara keseluruhannya, kajian telah berjaya membuktikan terdapat suntikan elemen eko kritik dalam genre puisi Melayu yang selama ini lebih dikaitkan dengan ciri-ciri estetika. Hasil kajian diharap dapat memperkayakan korpus ilmu dalam bidang kajian eko kritik sastera tempatan

    Bahasa Tombonuo dan Mangkaak: Dalam Keluarga Bahasa yang Sama

    Full text link
    Kajian ini merupakan sebahagian daripada penelitian dialek suku-suku atau subetnik dalam etnik Kadazandusun. Setiap suku atau subetnik dalam rumpun bahasa yang sama tidak terkecuali mengalami variasi bahasa yang muncul dalam perkataan, sebutan, tatabahasa, makna perkataan dan sebagainya. Variasi bahasa berlaku atas faktor geografi, sejarah suatu bahasa dan situasi sosial penutur. Kepelbagaian variasi bahasa dalam rantaian dialek etnik Kadazandusun  menyebabkan timbulnya isu ketidaksalingfahaman bahasa antara satu dengan yang lain. Situasi ini memberi kesan dalam komunikasi lisan antara. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan kata kognat bahasa Tombonuo dan Mangkaak serta mengenal pasti tingkat klasifikasi kedua-dua bahasa tersebut sama ada terletak dalam keluarga bahasa yang sama atau bukan. Data kajian diperoleh melalui kajian lapangan dengan menggunakan kaedah temu bual tidak berstruktur terhadap empat orang informan. Sejumlah 207 daftar senarai kata Swadesh telah digunakan sebagai instrumen kajian bagi mendapatkan data. Data dianalisis dengan bersandarkan teori leksikostatistik. Hasil kajian mendapati peratus persamaan kata kognat antara Tombonuo dengan Mangkaak ialah 59.11%. Perkataan yang banyak berkognat diwakili oleh leksikal yang merujuk anggota badan, pernomboran dan kata ganti nama berbanding leksikal yang merujuk alam. Tingkat klasifikasi bahasa diinterpretasikan sebagai bahasa berbeza tetapi masih dalam tingkat subkeluarga bahasa yang sama. Dapatan kajian memberi implikasi kepada pengukuhan bukti adanya hubungan kekerabatan bahasa antara keluarga Dusun dan Paitan. Kajian ini juga memberi impak kepada pengayaan dan pemantapan perbendaharaan kata serta istilah dalam subjek Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi

    Penggunaan Bahan Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

    Full text link
    Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti keperluan penggunaan bahan komponen sastera (KOMSAS) dalam pembelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat. Tumpuan kajian kepada persepsi murid-murid terhadap penggunaan bahan KOMSAS, strategi yang digunakan oleh guru dalam pengajaran KOMSAS dan masalah yang timbul semasa pembelajaran KOMSAS. Seramai 120 murid Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Tinggi Chung Hua, Seremban telah dipilih sebagai sampel kajian. Data kajian ini diperoleh secara kuantitatif iaitu dengan menggunakan set soal selidik skala likert 5 aras. Data dianalisis menggunakan perisian “SPSS” statistik Versi 17.0 bagi menganalisis penanda tahap bagi min dan sisihan piawai sama ada mencapai tahap tinggi, sederhana atau rendah. Di samping itu juga, data ditunjukkan menggunakan frekuensi dan peratusan mengikut item-item tertentu. Hasil kajian menunjukkan bahawa murid yang berusia lingkungan 16 dan 17 tahun dalam Tingkatan 4 didapati kurang atau tidak berminat dalam mempelajari  bahan KOMSAS kerana faktor-faktor tertentu. Pola minat murid terhadap KOMSAS menunjukkan bahawa murid hanya meminati genre tertentu sahaja dalam teks KOMSAS seperti cerpen. Namun, murid masih inginkan bahan KOMSAS dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu kerana terdapat pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh dipelajari oleh mereka. Kajian mendapati guru kurang peka terhadap keperluan memilih strategi dan aktiviti yang sesuai sehingga mengehadkan penglibatan murid di dalam kelas walaupun bahan bantu mengajar (BBM) berkonsepkan bestari digunakan sepenuhnya oleh guru

    Pengurusan Kepimpinan Keusahawanan Melayu Dalam Movel Ranjau Sepanjang Jalan

    Full text link
    Keupayaan pengurusan kepimpinan dalam menerajui organisasi telah diterima sebagai suatu faktor yang boleh menentukan kejayaan dan kegagalan bagi sesuatu organisasi berkenaan. Malah, kepimpinan merupakan suatu keperluan dalam membina kekuatan organisasi terutama dalam memimpin organisasi ke arah menuju dan mencapai matlamat yang ingin dicapai bersama dengan jayanya. Kajian ini meneliti bentuk atau dasar pengurusan kepimpinan usahawan masyarakat tani yang terdapat dalam Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ). Di samping mengenalpasti sikap pengurusan kepimpinan masyarakat tani yang terbina dalam Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ). Penelitiannya dibuat dengan penganalisisan terhadap elemen pengurusan kepimpinan yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) dan dikaitkan dengan kegiatan usahawanan tani dalam masyarakat Melayu. Dapatan daripada kajian ini dirumuskan bahawa terdapat beberapa elemen dasar dan sifat kepimpinan yang terbentuk dalam diri pemimpin masyarakat yang ditunjukkan mempunyai keupayaan yang tersendiri dalam usaha menjayakan usahawan tani masyarakat Melayu tradisi. Implikasinya, pengurusan kepimpinan Melayu khususnya berkait dengan keusahawanan yang ditonjolkan oleh pengarang dalam Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) adalah lebih signifikan kepada kritikan dan seharusnya dapat menunjukkan corak kepimpinan yang digunakan oleh pemimpin pada masa kini

    0

    full texts

    0

    metadata records
    Updated in last 30 days.
    RUMPUN (E-Journal)
    Access Repository Dashboard
    Do you manage Open Research Online? Become a CORE Member to access insider analytics, issue reports and manage access to outputs from your repository in the CORE Repository Dashboard! 👇