RUMPUN (E-Journal)
Not a member yet
    151 research outputs found

    Hubungan Kekeluargaan (Dangansanak) Puak Dusun di Brunei dalam Cerita Lipur Lara Siram “Awang Nangkat Isi Laut”

    Full text link
    Siram merupakan cerita lisan bentuk lipur lara atau diangdangan (istilah yang digunakan di Brunei) milik puak Dusun di Brunei. Puak Dusun terkandung sebagai salah sebuah puak yang dimaksudkan sebagai bangsa Melayu di Brunei. Banyak jenis siram yang belum diterokai dan diteliti sekalipun dalam perspektif sastera. Siram “Awang Nangkat Isi Laut” umpamanya telah lama dirakam di sekitar tahun 1980an tetapi belum dilakukan sebarang proses kajian. Oleh yang demikian, penelitian ini mengangkat siram “Awang Nangkat Isi Laut” sebagai bahan perbincangan untuk memperlihatkan fungsi sastera lisan atau tradisi lisan berhubung dengan pengabsahan dan cerminan budaya sesuatu bangsa/masyarakat. Dalam hal ini penelitian berobjektifkan untuk melanjutkan dapatan terdahulu tentang cerminan budaya dan tradisi masyarakat Dusun di Brunei terutamanya dalam hubungan kekeluargaan yang terkandung dalam siram ini. Berdasarkan konsep pendekatan persanakan atau dangansanak, perbincangan berlegar dalam ruang lingkup sistem mempertahankan kesatuan atau perpaduan (unity), keharmonian (harmony), dan hubungan kerjasama (cooperation relationship) adalah kekunci jaminan keutuhan wujudnya puak Dusun di Brunei. Sesungguhnya puak Dusun di Brunei tegar dalam menjaga dan memelihara kewujudan kelompoknya sekalipun dalam bentuk titipan tradisi lisan, namun mereka juga menyedari tentang cabaran dan hambatan dari zaman ke zaman yang lain

    Warisan Naratif Lisan Terhadap Pembentukan Akhlak Remaja Melalui Amalan Akal Budi

    Full text link
    Naratif lisan merupakan bentuk penyampaian yang disampaikan oleh nenek moyang masyarakat Melayu untuk memberi nasihat kepada anak-anak muda. Namun begitu, kepesatan teknologi kian berkembang membuatkan naratif lisan kurang didedahkan kepada golongan muda. Oleh itu, kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti dan menganalisis akal budi yang terkandung dalam naratif lisan bagi membentuk akhlak remaja. Kajian ini telah membataskan skop kajian terhadap dua cerita rakyat iaitu, Pembunuhan Raja Abdullah dan Bukit Marak Bukit Keramat. Kajian ini telah menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu menerusi Pendekatan Firasat sebagai deduktif kajian. Kajian ini telah menggunakan kaedah kualitatif iaitu, kaedah kepustakaan dan kaedah lapangan. Hasil kajian ini mendapati terdapat akal budi dalam naratif lisan yang bertujuan mendidik keperibadian golongan remaja ke arah yang lebih positif

    Pengurusan Teknologi Dalam Karya Kesusasteraan Melayu

    Full text link
    Kajian mengenai pengurusan teknologi dalam karya sastera kurang mendapat perhatian penyelidik. Ianya ada kaitan dengan persepsi bahawa teknologi adalah satu bidang berkaitan sains dan matematik. Teknologi haruslah dilihat sebagai percambahan ilmu dan buah fikiran dalam proses penyusunan bahan serta perkara yang dirancang bagi menepati keperluan dalam memudahkan kelangsungan kehidupan harian manusia Maka, teknologi boleh diklasifikasikan kepada dua sifat iaitu bersifat metafizikal yang boleh dipandang dan dipegang seperti peralatan, mesin dan sebagainya serta yang bersifat abstrak yang boleh dipandang tapi bukan dalam bentuk yang boleh dipegang seperti bahasa, persuratan dan sebagainya. Lantaran itu langkah awal telah dimulakan untuk meneliti mengenai pengurusan teknologi dalam novel-novel yang terpilih. Novel adalah sebahagian daripada karya kesusasteraan yang memperlihatkan kehidupan manusia. Ianya juga adalah naratif yang mengandungi peristiwa yang terwujudnya masalah dan konflik dalam watak watak, lalu aspek pengurusan menjadi salah satu manhaj untuk menyelesaikan perkara tersebut. Aplikasi pengurusan dapat membantu watak menghadapai permasalahan dan konflik ini bagi mencapai matlamat yang diinginkan. Aspek pengurusan teknologi dalam novel adalah dengan meneliti watak watak sebagai anggota masyarakat dan harus disandarkan kepada elemen perancangan, kepimpinan dan kawalan. Ini adalah kerana teknologi bukanlah sesuatu yang memberi kebaikan kepada manusia sahaja tetapi mempunyai implikasi negatif jika ianya gagal diurus dengan baik. Maka cabaran kajian adalah bertumpu kepada dua perkara pokok iaitu, pertama, mengenai pasti naratif teknologi dalam novel dan kedua mengenai aplikasi pendekatan pengurusan teknologi tersebut dalam novel

    Ekokritikisme Dan Bencana: Puisi-Puisi A Halim Ali Dalam Memahami Interaksi Manusia dan Alam Semulajadi

    Full text link
    Makalah ini membincangkan salingkaitan antara sastera dan geografi, dengan tumpuan kepada elemen ekokritik dalam karya sastera. Ekokritik, yang berasal daripada kajian ekologi, meneliti perwakilan alam semula jadi dan interaksi organisma dengan persekitaran dalam teks sastera. Melalui perspektif ekokritik, interaksi manusia dengan alam semula jadi dilihat secara holistik, melibatkan hubungan manusia dengan keseluruhan ekosistem yang saling melengkapi. Kajian ini menyoroti implikasi aktiviti manusia seperti tebus guna tanah terhadap alam sekitar, termasuk pencemaran sungai, banjir lumpur, dan peningkatan suhu, yang mengancam kesejahteraan kehidupan. Fokus utama artikel adalah analisis puisi-puisi A Halim Ali melalui antologi, Meraut Air Limpah (2007), yang mengetengahkan isu-isu bencana alam. Melalui pendekatan ekokritik, artikel ini mengupas bagaimana puisi-puisi ini memberikan pemahaman tentang interaksi dinamik manusia dengan alam semula jadi, serta peranan sastera dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melestarikan alam sekitar

    KepentinganTeater Melayu Tradisional Dalam Industri Kreatif

    Full text link
    Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara-negara maju. Contohnya, industri ini telah menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat. Dalam perspektif ekonomi dan sosiobudaya Malaysia, industri kreatif telah memberi sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2008 dan berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa. Dalam memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan. Industri kreatif dikatakan meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan. Namun begitu, penelitian ini hanya berfokus kepada sumbangan teater Melayu tradisional sebagai salah satu aset dalam industri kreatif negara. Ditemukan bahawa, terdapat beberapa jenis teater tradisional Melayu yang utama iaitu Mak Yong, Wayang Kulit, Mek Mulung dan Teater Bangsawan dengan ciri-ciri asas seperti gabungan lakonan, muzik, tarian, nyanyian, dan elemen puitis. Teater tradisional ini mengandungi unsur sastera seperti hikayat dan cerita rakyat yang menyampaikan mesej moral serta mitos melalui simbolisme dan kiasan. Potensi teater Melayu tradisional dalam industri kreatif terletak pada kemampuannya untuk dijadikan produk pelancongan budaya, hiburan dan seni budaya yang dapat menarik minat generasi muda serta pelancong. Kepentingan teater melayu tradisional dalam industri kreatif bukan sahaja dari aspek ekonomi, tetapi juga sebagai pemelihara identiti budaya untuk memastikan warisan seni ini terus hidup dan dihargai pada peringkat tempatan dan antarabangsa.&nbsp

    MaknaAir Dalam Naskhah Drama “Istiqamah” Karya Ismail Kassan

    Full text link
    Kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan menemukan makna air dalam naskhah drama “Istiqamah” karya Ismail Kassan. Bagi menemukan makna air dalam naskhah drama yang dikenal pasti beraliran absurd itu, kajian ini mengaplikasikan Konsep Naskhah Drama Absurd Melayu yang diasaskan daripada Teori Estetika Bersepadu oleh Abdul Halim Ali (2010) tertumpu kepada Ciri-ciri Keadaman Teks Kesusasteraan. Konsep Naskhah Absurd Melayu diaplikasikan terhadap teks dikaji kerana mengemukakan dua idea teras, iaitu kesepaduan unsur dalaman (idea dan pemikiran) dengan unsur lahiriah teks (struktur teks). Kedua-dua unsur ini menzahirkan stail, iaitu perkaitan stail (kesepaduan unsur dalaman) dengan kebenaran terhadap agama dan realiti kehidupan. Hasil kajian mendapati makna air dalam “Istiqamah” adalah; (1) Air anugerah Allah SWT kepada seluruh makhluk-Nya. (2) Air Zam-Zam sebagai air istimewa daripada Allah SWT. (3) Allah SWT melarang manusia menyalahgunakan air. (4) tidak semua air boleh diminum Manusia. Keempat-empat dapatan analisis “Istiqamah” telah mengungkap idealisme pengarang yang memaknakan air sebagai falsafah kepada keperluan dan pembersihan untuk manusia. Jelas, dengan mengaplikasikan pendekatan Konsep Naskhah Absurd Melayu, ia memberi implikasi untuk memahami sesebuah naskhah drama absurd secara berstruktur, sistematik dan berkesan

    Pengajaran Moral Melalui Perjanjian Antara Pemerintah dan Diperintah: Estetika Sejarah dan Visi Tun Seri Lanang

    Full text link
    Pengarang tradisional adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang menyumbang untuk menghasilkan karya sastera tradisional yang berkualiti, sesungguhnya karya mereka mempunyai nilai tersendiri sebelum munculnya sistem percetakan moden. Pengarang tradisional memainkan peranan penting dengan menjadi pendidik atau guru kepada pembaca dari kalangan rakyat jelata. Objektif penulisan makalah ini adalah untuk membentangkan peranan Tun Seri Lanang sebagai seorang guru yang mengajar pelbagai aspek moral, sejarah, ekonomi, sains politik, budaya dan adat istiadat. Di samping itu, unsur-unsur estetika yang menghiburkan pembaca melalui imaginasi dan gaya bahasa yang indah telah dipersembahkan dengan berkesan. Permasalahan kajian ialah sejauh mana pengajaran beliau dalam teks ini masih relevan kepada masyarakat madani Malaysia secara khusus dan amnya di peringkat global. Kajian menggunakan pendekatan penyelidikan kualitatif deskriptif. Kaedah pengumpulan data termasuk menggunakan sumber maklumat perpustakaan. Kaedah analisis yang digunakan dalam kajian ini adalah dengan mengaplikasikan teori kepengarangan yang dibawa oleh Muhamad Haji Salleh sebagai kedah analisis deskriptif  karya Sulalatus Salatin.  Dapatan analisis teks kajian menunjukkan bahawa setiap aspek sejarah dan sastera yang terkandung dalam teks ini masih relevan kepada generasi muda untuk diikuti, dipelajari dan dijadikan karya yang wajib dibaca oleh setiap rakyat Malaysia. Visi Tun Seri Lanang untuk menulis sebuah karya sebagai satu rujukan dan peringatan kepada generasi akan datang telah dicapai dalam karya ini.  Karya ini mewujudkan satu rasa kemegahan betapa hebatnya kerajaan Melayu Melaka sebelum kedatangan pihak penjajah dan juga mempelajari nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang kehidupan manusia sepanjang zaman

    Citra Sosiobudaya Membentuk Kepengarangan Penulis Siam Berdasarkan Cerpen `Champa dan Pintu Gerbang` karya Eh Deng Eh Chik

    Full text link
    Kepelbagaian budaya di Thailand telah mencipta satu ruang yang cukup besar dalam penghasilan karya kreatif bercitra sosiobudaya yang sarat dengan nilai kearifan tempatan. Penerapan elemen sosiobudaya dalam karya kreatif bukan sahaja berupaya membentuk identiti kepengarangan seseorang, namun pada masa yang sama berupaya membongkar falsafah kehidupan, sistem nilai, kepercayaan, kebudayaan dan sudut pandangan masyarakat yang diceritakan. Transmigrasi masyarakat Siam ke Kelantan bermula seawal pertengahan abad ke-13. Sejak daripada itu, elemen sosiobudaya sering kali melatari idea, gagasan, watak dan perwatakan serta sudut pandangan penulis dari Thailand. Kajian ini meneliti citra sosiobudaya yang terbina dalam Antologi Cerpen Champa dan Pintu Gerbang (2022) karya Eh Deng Eh Chik. Di samping itu, penelitian ini menggunakan pendekatan kualitatif berlandaskan analisis kandungan sebagai sumber utama pengumpulan data. Analisis kandungan pula berlandaskan citra sosiobudaya seperti adat perkahwinan, kesenian tradisional, kepercayaan, agama dan perayaan di Thailand. Data-data yang diperoleh akan dihuraikan secara analisis deskriptif sebagai topik utama perbincangan bagi melengkapi penelitian ini. Kajian mendapati, elemen sosiobudaya sememangnya menjadi pencetus kepada penghasilan karya kreatif penulis Thailand serta berupaya membentuk identiti kepengarangan. Langgam kepengarangan Eh Deng Eh Chik menunjukkan sensitivitinya mengadun pengalaman sosial ke dalam Antologi Cerpen Champa dan Pintu Gerbang. Hakikat ini amat bertepatan dengan fungsi karya sastera yang merupakan hasil interpretasi pengarang mengenai kehidupan dan bukannya hasil transkripsi kehidupan

    Interaksi Antara Muka Surat Verso dan Muka Surat Recto Dalam Buku Cerita Bergambar Kanak-Kanak

    Full text link
    Buku cerita bergambar kanak-kanak merupakan karya sastera berbentuk kreatif yang menyampaikan jalan cerita melalui teks dan gambar. Buku cerita bergambar kanak-kanak yang bermutu memaparkan peristiwa yang hadir secara serentak pada dua halaman yang saling menghadap iaitu antara muka surat verso dan muka surat recto. Namun, kebanyakan buku cerita bergambar kanak-kanak didapati mengabaikan kepentingan komposisi antara muka surat verso dan muka surat recto (Nikolajeva, 2006). Interaksi antara muka surat verso dengan muka surat recto yang terdapat dalam buku cerita bergambar kanak-kanak penting untuk menyatakan pelbagai makna dan tanggapan melalui pergerakan gambar. Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti interaksi antara muka surat verso dengan muka surat recto yang terdapat dalam tiga buah buku cerita bergambar kanak-kanak daripada tiga genre dan menganalisis interaksi antara muka surat verso dengan muka surat recto berdasarkan pendekatan Nikolajeva (2006). Kaedah analisis kandungan digunakan dalam kajian ini dengan meneliti empat buah buku cerita bergambar kanak-kanak yang terdiri daripada genre cerita rakyat, genre cerita haiwan, genre cerita fantasi dan genre cerita realistik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa interaksi antara muka surat verso dengan muka surat recto yang terdapat dalam ketiga-tiga buah cerita bergambar kanak-kanak sememangnya menepati makna dan tanggapan yang dikemukakan oleh Nikolajeva (2006). Rumusannya, makna dan tanggapan yang terdapat pada muka surat verso dan muka surat recto dalam buku cerita bergambar kanak-kanak penting untuk menjadikan sesebuah buku cerita itu berkualiti

    Unsur Keindahan Dan Nilai Murni Dalam Pantun Melayu Gubahan Loo Mun Berdasarkan Teori Puitika Sastera Melayu

    Full text link
    Kajian ini bertujuan untuk menganalisis pantun Melayu, gubahan Loo Mun @ Then Chye dari aspek keindahan Bahasa, bentuk dan keindahan dalam mengajar dan mendidik berdasarkan Teori Puitika Sastera Melayu. Tujuan umum kajian ini adalah untuk mengenal pasti, dan membincangkan aspek keindahan dalam pantun-pantun Melayu gubahan Loo Mun. Terdapat dua aspek keindahan yang difokuskan untuk dianalisis iaitu keindahan dari sudut gaya bahasa dan bentuk sertakan keindahan yang bersifat mengajar dan mendidik masyarakat menerusi nilai-nilai murni dalam pantun-pantun Loo Mun. Kajian ini adalah sebuah berbentuk kualitatif menggunakan kaedah kajian kepustakaan, kaedah analisis kandungan dan kaedah analisis deskriptif . Data daripada sumber-sumber Primer ini dianalisis secara deskriptif berpandukan konsep keindahan dalam mengajar dan mendidik yang digagaskan oleh Muhammad Hj. Salleh menerusi teori Puitika Sastera Melayu (1989). Berdasarkan analisis ke atas 121 buah pantun dalam kumpulan pantun Melayu gubahan Loo Mun, kajian ini mendapati strategi kiasan yang menzahirkan keindahan dalam pantun yang dikaji dapat dilihat pada penggunaan unsur-unsur bahasa seperti metafora, personifikasi, gaya pengulangan, simili dan penggunaan peribahasa. Dengan berpandukan pada prinsip keindahan yang mengajar dan mendidik dalam teori Puitika Sastera Melayu (1989), analisis yang dilakukan secara rinci telah dapat  mengenal pasti aspek keindahan bahasa, bentuk serta nilai-nilai murni yang bersifat mengajar dan mendidik. Implikasi hasil daripada kajian ini adalah penting dijadikan rujukan asas kepada kajian-kajian lain pada masa akan datang yang bertujuan untuk mengembangkan pengetahuan dan meneroka aspek pemikiran Melayu dalam perspektif penulis bukan Melay

    0

    full texts

    0

    metadata records
    Updated in last 30 days.
    RUMPUN (E-Journal)
    Access Repository Dashboard
    Do you manage Open Research Online? Become a CORE Member to access insider analytics, issue reports and manage access to outputs from your repository in the CORE Repository Dashboard! 👇