RUMPUN (E-Journal)
Not a member yet
    151 research outputs found

    Elemen Nilai Geografi Fizikal Dalam Kearifan Tempatan Masyarakat Dayak Orang Ulu di Long Busang, Kapit, Sarawak

    Full text link
    Kearifan tempatan boleh ditakrifkan sebagai pengetahuan yang diperoleh oleh individu tempatan melalui pengumpulan pengalaman dan pemahaman mendalam tentang sistem, persekitaran dan sumber berdasarkan budaya dan konteks tempatan. Kajian ini bertujuan untuk meneroka elemen nilai geografi fizikal dalam kearifan tempatan masyarakat Dayak Orang Ulu di Long Busang, Kapit, Sarawak. Pendekatan kualitatif dengan reka bentuk etnografi serta temu bual separuh struktur digunakan dalam kajian ini. Sampel kajian terdiri daripada empat orang penduduk tetap di Long Busang, Kapit, Sarawak yang berumur 50 tahun ke atas. Analisis tipologi digunakan untuk menghuraikan data kualitatif secara sistematik dan jelas. Dapatan kajian menunjukkan keseluruhan responden berpengetahuan tentang elemen nilai geografi yang telah dikategorikan dalam kearifan tempatan masyarakat ini iaitu guna tanah dan pengetahuan tempatan (litosfera), kearifan tempatan dalam amaran awal hujan lebat dan bencana banjir (atmosfera), sungai dalam kehidupan masyarakat (hidrosfera) dan penggunaan tumbuhan dalam penjagaan kesihatan (biosfera) sebagai geografi fizikal. Kesimpulannya, hasil kajian juga membuktikan bahawa elemen geografi dan pengetahuan tradisional masyarakat Dayak Orang Ulu boleh dimanfaatkan dalam pengurusan sumber semula jadi, pembangunan komuniti dan adaptasi terhadap cabaran bencana alam sekitar. Kajian elemen-elemen ini bukan sahaja membuka perspektif baharu tentang kearifan tempatan tetapi juga menyumbang kepada strategi kelestarian komuniti berdasarkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap persekitaran sosial dan ekologi mereka. Justeru itu, kearifan tempatan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan tetapi juga berpotensi menjadi model untuk pengurusan lestari di peringkat global

    Keberkesanan SQ3R Dalam Meningkatkan Kemahiran Membaca Teks KOMSAS Murid Tingkatan Dua

    Full text link
    Kajian ini menilai keberkesanan strategi membaca SQ3R dalam meningkatkan kemahiran membaca pemahaman teks KOMSAS dalam kalangan murid Tingkatan 2. Kajian kuasi eksperimen melibatkan 120 orang murid yang dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Instrumen kajian terdiri daripada ujian pra, ujian pasca dan soal selidik persepsi murid. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi dengan bantuan SPSS Versi 26. Dapatan menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam pencapaian membaca murid selepas intervensi SQ3R (t = -18.31, p < .05). Persepsi murid terhadap SQ3R juga sangat positif, merangkumi aspek motivasi, efikasi kendiri dan penggunaan strategi membaca secara konsisten. Kajian ini membuktikan bahawa SQ3R merupakan strategi pedagogi berstruktur yang berkesan dalam meningkatkan kemahiran membaca KOMSAS, sekali gus menyokong pembinaan kemahiran literasi akademik murid sekolah menengah

    Naratif Sosioekonomi Masyarakat Melayu Dalam Novel oleh Keris Mas

    Full text link
    Kajian ini adalah sebuah kajian berbentuk kualitatif menggunakan kaedah kajian kepustakaan. Sumber data kajian Adalah dua buah novel terpilih karya Sasterawan Negara Keris Mas berjudul `Anak Titiwangsa` (1967) dan `Rimba Harapan` (1986). Kajian bertujuan menganalisis gambaran pergerakan sosioekonomi Masyarakat Melayu berpandukan prinsip mitologi Semiotik Roland Barthes (1972). Data dianalisis mengunggkaan kaedah analisis kandungan dan dibincangkan secara deskripftif. Hasil analisis menunjukkan bahawa Keris Mas telah menyalurkan gambaran kehidupan sebenar masyarakat Melayu dan menyuarakan teguran kepada masyarakat yang leka serta tidak menggunakan peluang dan ruang yang telah diberi kepada mereka melalui dasar kerajaan iaitu Dasar Ekonomi Baru. Pengarang menyampaikan teguran dengan menggunakan makna-makna tertentu bagi menjelaskan situasi dan keadaan masyarakat Melayu pada zaman sebelum dan semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Hasil analisis yang dilakukan, kajian ini merumuskan karya yang dihasilkan mampu menyalurkan maklumat kepada masyarakat sekali gus berperanan penting sebagai alat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bangkit dan memperbaiki ekonomi keluarga

    Hipoteks Sejarah Dalam Kumpulan Cerpen Pembunuh Anarki

    Full text link
    Makalah ini menganalisis peranan dan fungsi intertekstualiti dalam Kumpulan Cerpen Pembunuh Anarki (2015) karya Jasni Mat Lani, seorang pengarang pascamoden Malaysia yang dikenali dengan gaya penulisan eksperimental dan kritis terhadap struktur naratif konvensional. Hiperteks ini kaya dengan rujukan silang terhadap kisah-kisah sejarah, isu semasa dan  keagamaan, termasuk tokoh seperti Nabi Nuh. Pendekatan intertekstual yang digunakan tidak hanya berperanan sebagai alat estetik, tetapi turut berfungsi sebagai instrumen dekonstruktif yang mencabar autoriti wacana dominan, termasuk politik dan sosial. Kajian ini memperlihatkan bagaimana Jasni Mat Lani memanfaatkan fahaman intertekstualiti oleh Julia Kristeva (1980) untuk mencipta ruang naratif yang kabur antara yang sakral dan yang profan, yang logik dan yang tidak masuk akal. Penyaringan tragedi MH370, peperangan Israel-Palestin dan kisah Nabi Nuh dalam konteks yang subversif menimbulkan pertanyaan falsafah yang mendalam tentang identiti, makna dan kebenaran. Di samping itu, makalah ini juga menelusuri latar diri pengarang, termasuk pendidikan dan pengalaman peribadinya, yang secara signifikan membentuk dunia imaginatif dalam karyanya. Latar pendidikan Jasni Mat Lani dalam bidang falsafah dan kecenderungan terhadap wacana radikal memperkukuh gaya penulisan yang mengganggu naratif arus perdana. Secara keseluruhan, makalah ini membuktikan bahawa intertekstualiti dalam Pembunuh Anarki bukan hanya bentuk permainan teks, tetapi satu strategi intelektual yang memperkasa penulis dalam membongkar dan menstruktur semula makna. Karya ini wajar dilihat sebagai teks rintis dalam wacana sastera Malaysia yang membawa naratif ke arah lebih kritis dan reflektif

    Pengurusan Perancangan Keusahawanan Dalam Novel Ranjau Sepanjang Jalan Karya Shahnon Ahmad

    Full text link
    Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti pengaplikasian perancangan keusahawanan di dalam novel pilihan karya Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad iaitu Ranjau Sepanjang Jalan. Kajian ini adalah merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis teks. Prinsip pertama di dalam aspek pengurusan iaitu prinsip perancangan telah diaplikasikan sepenuhnya dalam melihat sudut pengurusan keusahwanan yang terdapat di dalam karya tersebut. Aspek-aspek perancangan yang bersesuaian bagi kajian teks sastera telah dijadikan panduan dalam mengenal pasti penerapan pengurusan dalam plot penceritaan. Hasil dapatan yang diperolehi mendapati bahawa prinsip pertama di dalam pengurusan, iaitu prinsip perancangan telah diaplikasikan di dalam novel pilihan sebermulanya alur penceritaan yang dibina oleh pengarang. Perancangan jangka masa panjang dan perancangan jangka masa pendek memainkan peranan yang dominan bagi watak-watak janaan pengarang bagi menghadapi polemik dalam kehidupan mereka. Kesimpulannya, perancangan adalah merupakan langkah pertama dan asas terpenting dalam menguruskan setiap permasalahan atau isu dalam kehidupan sama ada di dalam karya ataupun dunia realiti. Perancangan juga dilihat sebagai langkah pertama yang akan membawa gerak kerja dan tindakan yang mampu mempengaruhi alur penceritaan yang ingin dihasilkan oleh seseorang pengarang kerana dilihat mampu mengangkat tema, persoalan, nilai dan pengajaran yang terdapat di dalam sesebuah karya. Kajian ini diharapkan mampu membuka mata akan kepentingan elemen pengurusan sebagai metod baharu dalam meneliti karya-karya sastera dan menjadi ruang lingkup baharu oleh para sarjana dalam dunia kritikan sastera tanah air

    Naratif Budaya Minangkabau Dalam Novel Merantau Ke Deli: Analisis Melalui Perspektif Pengurusan Sastera

    Full text link
    Hamka adalah salah seorang penulis yang banyak mengangkat budaya Minangkabau dalam naratif karya yang dihasilkan. Secara tidak langsung menonjolkan keunikan budaya Minangkabau. Fokus penulisan makalah ini adalah untuk merungkai bagaimana prinsip-prinsip pengurusan moden yang digariskan oleh Henry Fayol diaplikasikan dalam konteks budaya dan identiti bangsa Melayu Minangkabau yang digambarkan melalui watak, konflik, dan struktur sosial dalam teks. Kajian ini berasaskan pendekatan kualitatif melalui analisis kepustakaan dan teks dengan menelusuri tiga novel Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Ka‘bah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lima daripada empat belas prinsip pengurusan Fayol autoriti, kesatuan arahan, keutamaan kepentingan organisasi, rantaian skala dan semangat kekitaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh elemen budaya yang membentuk identiti bangsa Melayu Minangkabau. Prinsip-prinsip ini jelas terserlah dalam sistem kekerabatan matrilineal, struktur kepimpinan keluarga serta nilai kolektif yang menekankan kepentingan suku berbanding individu. Analisis turut memperlihatkan bagaimana pengurusan budaya melalui naratif sastera bukan sahaja berfungsi sebagai medium pengukuhan identiti bangsa tetapi juga sebagai wahana pendidikan insaniah yang menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kelestarian masyarakat. Kajian ini menegaskan bahawa pengurusan sastera mampu menjadi pendekatan strategik dalam memahami dan memperkukuh jati diri bangsa khususnya dalam menghadapi cabaran globalisasi yang berpotensi menghakis nilai budaya tempatan

    Implementasi Reading Morning Menggunakan Metode DEAR di Madrasah Ibtidaiyah

    Full text link
    Penelitian ini bertujuan mendeskripsikan implementasi Reading Morning  menggunakan metode Drop Everything and Read (DEAR), kendala yang dihadapi, solusi sekolah dalam menghadapi kendala, serta dampaknya bagi siswa di Madrasah Ibtidaiyah Negeri (MIN) Kota Semarang. Penelitian kualitatif ini berjenis deskriptif. Pengumpulan data menggunakan teknik observasi, wawancara dan dokumentasi. Uji keabsahan menggunakan triangulasi sumber dan teknik. Teknik analisis data dilakukan dengan pengumpulan data, reduksi, penyajian, dan penarikan kesimpulan. Hasil penelitian yaitu, 1) Program Reading Morning  dengan DEAR dilaksanakan melalui tiga tahap: perencanaan, pelaksanaan dan pengembangan. 2) Kendala pelaksanaan program ini berupa kurangnya model guru dalam membaca, kurang kesadaran membaca oleh semua warga madrasah, keterbatasan buku sebagai sumber bacaan, dan kurangnya Sumber Daya Manusia (SDM) yang mengelola pondok baca sehingga pengelolaan sirkulasi buku tidak lancar. (3) Solusi pihak madrasah mengatasi kendala tersebut berupa: pertama, melakukan pembinaan kepada dewan guru-staff dan evaluasi berkala. Solusi untuk mengatasi kendala kedua, membuat SK Pondok Baca dan penandatanganan Pakta Integritas. Solusi dari kendala ketiga yaitu pengadaan buku, sedekah buku dari wali murid, bekerja sama dengan perpustakaan keliling, dan bekerja sama dengan Perpustakaan Wilayah. Solusi kendala keempat, penambahan petugas pondok baca dan kerja sama antar guru kelas.(4) Pelaksanaan Reading Morning  dengan DEAR berdampak positif dan negatif. Dampak positifnya yaitu meningkatnya kemampuan literasi, tumbuhnya kebiasaan membaca, dapat menulis cerpen, cergam dan deskripsi gambar lebih baik, terpilihnya menjadi duta baca, pengetahuan bertambah dan kemampuan dalam bercerita meningkat. Sedangkan dampak negatifnya pada fisik siswa karena membaca tanpa meja, membuatnya duduk dengan sikap seenaknya dan ini rentan pada tulang siswa

    Perwatakan Berdedikasi Dalam Cerita Rakyat di Kota Bharu: Satu Penelitian Kemasyarakatan

    Full text link
    Cerita rakyat merupakan satu bentuk komunikasi lisan yang dilakukan oleh nenek moyang Melayu bagi menyampaikan amanat atau nasihat. Mereka menyampaikan cerita rakyat bagi mendidik anggota masyarakat agar sentiasa menjaga adat resam serta pantang-larang yang diamalkan. Namun, cerita rakyat kini dianggap tidak releven untuk disampaikan kepada anak-anak muda kerana kepesatan teknologi yang ada pada hari ini. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan bagi mengenal pasti dan menganalisis perwatakan dedikasi dalam cerita rakyat di daerah Kota Bharu, Kelatan. Kajian ini membataskan dua buah cerita rakyat yang bertajuk Panglima Perang dan Kerabat Diraja Memuja Pantai. Kajian ini menggunakan rekabentuk kualitatif iaitu berdasarkan kaedah kepustakaan dan lapangan. Kajian ini turut menggunakan teori pengkaedahan Melayu menerusi pendekatan kemasyarakatan sebagai deduktif kajian. Hasilnya, kajian ini mendapati bahawa cerita rakyat Melayu mampu menyerlahkan keperibadian dedikasi dalam kalangan masyarakat setempat

    Kepimpinan Keusahawanan Dalam Novel Terpilih Anwar Ridhwan Berdasarkan Teori Keusahawanan Kirzner

    Full text link
    Kajian ini mendeskripsi bentuk-bentuk keusahawanan (entrepreneurship) dalam tiga novel terpilih karya Anwar Ridhwan iaitu Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Arus (1990) dan Naratif Ogonshoto (2001) berdasarkan Teori Keusahawanan Kewaspadaan (The Alertness Theory of Entrepreneurship) yang dikembangkan oleh Israel M. Kirzner (1930-). Data-data berkaitan kedudukan keusahawanan dalam ketiga-tiga diperolehi dengan menggunakan pendekatan diskriptif analisis dan analisis kandungan (content analysis). Kedua-dua kaedah ini bertujuan memahami, mentafsir dan menemukan makna setiap aspek dalam ketiga-tiga novel tersebut sebagai data yang berkait dengan nilai-nilai keusahawanan yang digariskan oleh Kirzner. Dapatan kajian terhadap ketiga-tiga novel ialah; a) watak-watak utama telah menemui produk-produk keusahawanan misalnya, sumber-sumber hutan yang boleh dikomersialkan sebagai bahan perubatan tradisional; b) menjual hasil pertanian dan sumber-sumber alam seperti ikan air tawar; c) menawarkan kepakaran seperti ilmu kebidanan tradisional dan kemahiran menangkap buaya; d) memulakan dunia perbankan Melayu;  e) menebus guna tanah untuk tujuan komersial, misalnya menukar tanah hutan menjadi padang golf

    Interaksi Kerajaan Melaka dengan Kuasa Eropah dalam Naskhah Sulalat u’s Salatin

    Full text link
    Kemajuan dalam bentuk lahiriah mahupun rohaniah bukanlah satu-satunya faktor yang berperanan dalam menumbuhkan sesebuah tamadun di dunia. Di samping keunggulan sedia ada yang dimiliki oleh sesebuah tamadun, pencapaian membanggakan yang diraih oleh sesebuah tamadun berkenaan turut dipengaruhi juga oleh proses interaksi di antara tamadun untuk memenuhi keperluan manusia dalam tamadun berbeza yang saling berinteraksi di antara satu sama lain. Mustahaknya proses interaksi dalam menjamin perkembangan, kemajuan dan kelangsungan sesebuah tamadun telah menyaksikan peradaban Melayu di Gugusan Kepulauan Melayu tidak ketinggalan dari menjalinkan interaksi tersendiri baik dalam bentuk setempat mahupun juga sejagat. Interaksi dengan tamadun luar yang dirintis semenjak zaman kerajaan protosejarah Alam Melayu lagi diteruskan kesinambungannya oleh kerajaan pesisir terkemudian seperti kerajaan Melaka. Setelah diasaskan oleh Parameswara, kerajaan Melaka diketahui telah menjalinkan interaksi dengan tamadun lain seperti China, Ryukyu, Arab dan India. Dari semasa ke semasa, sayap interaksi kerajaan Melaka dikesan semakin melebar apabila turut berinteraksi dengan kuasa Eropah khususnya Portugis yang pertama kali tiba di Gugusan Kepulauan Melayu berikutan misi penjelajahan dan penjajahan pada abad ke-15 Masihi. Justeru, kajian berbentuk kualitatif ini ingin mengenal pasti dan menganalisis bentuk interaksi kerajaan Melaka dengan Portugis berdasarkan naskhah Sulalat u’s Salatin. Data yang diperolehi dari naskhah tersebut akan dianalisis dengan menggunakan Teori Bentuk dan Lingkungan Sosial Interaksi Antara Tamadun yang dipelopori oleh Kuzyk & Yakovets pada tahun 2006. Implementasi teori berkenaan dalam kajian ini menemukan wujudnya interaksi dalam bentuk kerjasama ekonomi dan konflik ketenteraan di antara kerajaan Melaka dengan Portugis

    0

    full texts

    0

    metadata records
    Updated in last 30 days.
    RUMPUN (E-Journal)
    Access Repository Dashboard
    Do you manage Open Research Online? Become a CORE Member to access insider analytics, issue reports and manage access to outputs from your repository in the CORE Repository Dashboard! 👇