Jurnal Pengajian Islam
Not a member yet
229 research outputs found
Sort by
Analisis Keberkesanan Kursus Modul Bersepadu Pasca Perkahwinan Islam Terhadap Perhubungan Suami Isteri di Negeri Selangor: The Effectiveness of The Integrated Post-Marriage Islamic Module Course on Husband-Wife Relationships
Objektif utama Kursus Modul Bersepadu Pasca Perkahwinan Islam adalah untuk mengatasi konflik dalam hubungan suami isteri di Malaysia. Ini berikutan pelbagai isu yang semakin membimbangkan seperti peningkatan kes penceraian, keganasan rumah tangga dan pembunuhan. Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan kursus tersebut dalam memperkukuh hubungan suami isteri. Bagi mencapai tujuan tersebut, kajian ini mengadaptasi Model Kirkpatrick yang mengukur keberkesanan kursus pada empat tahap iaitu reaksi, pembelajaran, tingkah laku dan hasil. Seramai 104 peserta kursus anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah terlibat sebagai sampel kajian. Data dikumpul melalui soal selidik dan temu bual, kemudian dianalisis menggunakan statistik deskriptif, ANOVA sehala dan korelasi Spearman manakala temu bual dianalisis melalui kaedah analisis tematik. Dapatan statistik deskriptif menunjukkan bahawa keberkesanan kursus paling tinggi berada pada tahap tingkah laku (min=5.83), diikuti tahap hasil (min=5.79), tahap reaksi (min=5.73) dan tahap pembelajaran (min=5.51). Hasil analisis ANOVA menunjukkan bahawa hanya demografi bilangan anak memberikan perbezaan yang signifikan terhadap tahap reaksi, tingkah laku dan hasil. Sementara itu, analisis korelasi mendapati hubungan paling kuat berlaku antara tahap reaksi dan pembelajaran. Kajian ini merumuskan bahawa kursus berkenaan berjaya mengukuhkan hubungan suami isteri namun penambahbaikan pada aspek pengisian modul dan pelaksanaan kursus adalah diperlukan
BAHASA: Perceptions and Sensitivity towards Liberal Ideologies among Civil Servants in Religious Institutions in Selangor
Dewasa ini umat Islam menghadapi cabaran kepada akidah kuat. Sifat-sifat global yang terdapat dalam pelbagai hal seperti ekonomi, perdagangan, budaya sains dan hasil-hasil teknologi telah mencabar agama untuk terus relevan atau sebaliknya. Bagi memenuhi tuntutan akidah untuk mengatasi masalah moden era ini, pengaruh aliran pemikiran semasa perlu diperincikan sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh ilmuwan Islam terdahulu. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menganalisis tahap kepekaan penjawat awam institusi Islam di Selangor terhadap isu-isu yang berlaku mengenai pemikiran liberal. Bagi mencapai objektif ini, metod kajian kuantitatif telah digunakan. Pengumpulan data adalah melalui analisis dokumen dan instrumen soal selidik. Begitu juga kajian menggunakan teknik pensampelan bertujuan (purposive sampling). Pemilihan sampel melibatkan penjawat awam institusi Islam di Selangor. Data kajian telah dianalisa secara deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai. Secara keseluruhannya dapatan kajian menunjukkan aspek positif dalam kepekaan terhadap pemikiran liberal di Selangor. Walaubagaimanpun terdapat simptom-simptom pemikiran tersebut dapat dikesan dalam aspek tertentu seperti perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan Malaysia, Kesultanan, Pluralisme agama dan lain-lain lagi. Dapatan kajian ini diharap dapat membantu merangka dasar baru pendidikan akidah juga dapat membantu pihak majlis agama dalam menangani penularan pengaruh pemikiran liberal di tanah air. Justeru itu pihak MAIS dan JAIS tidak boleh memandang ringan isu ini kerana ia berpotensi mengugat kredibiliti MAIS dan JAIS sebagai tonggak utama institusi Islam di Selangor
صِدِّيْق حَسَنْ خانْ القَنُّوْجِيّ: وجهودُه المتميّزةُ في مجال الدراسات القرآنية والحديثية: Ṣiddīq Ḥasan Khān Qannūjī and His Distinctive Contributions in The Field of The Quranic and Ḥadīth Studies: An Inductive and Descriptive Study
يُعَدُّ صِدِّيْق حسن خان القَنُّوْجِيّ مِن أشهر علماء المسلمين في القرن الرابع عشر الهجري، ومِن المؤلِّفين الْمُكثِرين في العلوم الإسلامية، وإضافةً إلى ذلك فهو كان أميراً لإحدى كبرى الإمارات الإسلامية في الهند. وهكذا وُفِّقَ هذا العالِمُ بالجمع بين الرِّئاستَين العِلمية والعَمَلية، وقُيِّضَ لخدمة الإسلام وعلومه، وقام بجهود علمية متميّزة في التأليف في مجال الدراسات القرآنية والحديثية باللغات الثلاث: العربية والفارسية والأردية، والتي لا تزال تفتخر بها المكتبةُ الإسلاميةُ، ويستفيد منها الباحثون في هذا المجال. وهذا البحثُ يتناول تلك الجهودَ بالتعريف والدراسة، ويحتوي على مقدّمةٍ ومبحثَين وخاتمةٍ، حيث يختصّ أوّلُهما بترجمة القَنُّوْجِيّ، والثاني يركِّز على تعريف مؤلَّفاته في القرآن والحديث وعلومهما، ثم يختتم بخاتمةٍ تَذكُر أهَمَّ ما توصَّل إليه الباحثُ من النتائج. وقد اتَّبع الباحثُ في هذه الدراسةِ منهجَين: المنهجَ الاستقرائيَّ والمنهجَ الوصفيَّ، أمَّا المنهجُ الاستقرائيُّ فقد اتَّبعه في جمع المادَّة العلمية عن حياة القَنُّوْجِيِّ واستقراءِ وتتبُّعِ آثاره العلمية من المطبوع والمخطوط في مجال القرآن الكريم والحديث النبوي
Pembangunan Model My Arabiy Game-X Untuk Pembelajaran Bahasa Arab Tahap Dua Di Sekolah Rendah Agama Berdasarkan Kurikulum Jabatan Agama Islam Selangor: Development of the My Arabiy Game-X Model for Level Two Arabic Language Learning in Religious Primary Schools: A Curriculum-Based Approach From Selangor Islamic Religious Department
Kajian ini bertujuan untuk membangunkan model reka bentuk dan pembangunan permainan mudah alih untuk pembelajaran bahasa Arab Tahap Dua di Sekolah Rendah Agama berdasarkan Kurikulum Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pendekatan tradisional yang berpusatkan guru dalam pengajaran bahasa Arab dilihat kurang berkesan dalam meningkatkan penguasaan kosa kata dan motivasi pelajar. Justeru, kajian ini mengintegrasikan prinsip gamifikasi dan reka bentuk berasaskan teori pembelajaran terkini seperti Teori Minimalis, Behaviorisme, Kognitif Multimedia dan SMART dalam membina Model My Arabiy Game-X. Kajian dilaksanakan melalui pendekatan Design and Development Research (DDR), melibatkan 408 pelajar dan 22 pakar bidang, menggunakan kaedah Fuzzy Delphi dan Interpretive Structural Modelling (ISM). Hasil dapatan menunjukkan terdapat tujuh konstruk utama yang perlu diberi keutamaan dalam pembangunan aplikasi iaitu: pemilihan perkakasan, keperluan guru, objektif pembelajaran, isi kandungan aplikasi, susunan paparan antara muka, pengisian aktiviti dan penilaian hasil pembelajaran. Model ini diharapkan dapat memberikan impak positif terhadap penguasaan kosa kata bahasa Arab, meningkatkan interaktiviti bilik darjah dan menyokong transformasi PdP yang lebih fleksibel dan inklusif sejajar dengan aspirasi pembelajaran abad ke-21
Analisis Dimensi Utama dalam Wacana Teodisi: Analysis of the Key Dimensions in Theodicy Discourse
Konsep keadilan Tuhan merupakan isu utama dalam perbahasan falsafah agama. Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana Tuhan yang Maha Adil dan Maha Baik boleh mengizinkan sesuatu yang tidak baik terjadi kepada manusia. Kertas kerja ini bertujuan meneliti tema-tema utama dalam perbahasan teodisi dengan menggunapakai kaedah analisis kandungan. Hasil kajian mendapati terdapat dua tema utama dalam perbahasan teodisi. Pertama, masalah kejahatan yang wujud dianggap sebagai tidak konsisten dengan kewujudan Tuhan. Kedua, perbuatan Tuhan yang berkaitan dengan kesempurnaan sifat-sifat Tuhan serta keadilanNya. Dalam menjawab persoalan kewujudan kejahatan bersamaan dengan kewujudan Tuhan serta keadilanNya, hujah teodisi Islam menegaskan tidak terdapat pertentangan di anatara kewujudan kejahatan dan kewujudan Tuhan yang adil atas empat justifikasi berikut; nilai kejahatan pada neraca manusia adalah berbeza, Tuhan tidak boleh diukur dengan neraca manusia, kejahatan adalah merujuk kepada pilihan manusia (perbuatan manusia dan bukan perbuatan Tuhan) dan kejahatan serta musibah adalah ujian bagi manusia untuk meningkatkan kedudukan manusia di sisi Tuhan. Implikasi daripada kajian ini, boleh digunakan dalam memahami konsep keadilan Tuhan serta menjawab syubhah-syubhah akidah golongan ateis dalam memahami kewujudan serta sifat kesempurnaan Tuhan
Pelestarian Literasi Jawi dalam Pendidikan Tinggi di Malaysia: Preservation of Jawi Literacy in Malaysian Higher Education
Pelestarian tulisan jawi di peringkat pendidikan sekolah rendah dan menengah telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui kursus kelas pengajian Jawi, al-Qur’an dan Fardhu Ain (J-Qaf) serta penerapan dalam silibus pendidikan Islam. Usaha peningkatan ini dikukuhkan lagi dengan wujudnya Kelas Al-Qur’an dan Fardhu Ain (KAFA) sejak 1990an. Manakala di peringkat pengajian tinggi, usaha-usaha peningkatan masih kurang dilaksanakan. Kajian ini akan menelusuri usaha pemartabatan tulisan jawi yang telah dilaksanakan di institisi pengajian Tinggi di Malaysia. Kajian ini menggunakan kajian kualitatif dengan menganalisis artikel-artikel yang berkaitan usaha pemartabatan tulian jawi yang telah dilaksanakan di intitusi pengajian tinggi di Malaysia. Hasil kajian menunjukkan usaha memantapkan tulisan jawi di institusi pengajian tinggi di Malaysia wujud. Usaha-usaha pemantapan tulisan jawi dapat dilihat melalui penubuhan institut jawi di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), wujudnya penawaran kursus minor di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pengajaran kitab turath di Universiti Islam Malaysia (USIM), aktiviti-aktiviti pengukuhan jawi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pembangunan perisian jawi di Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan beberapa aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di institusi pendidikan tinggi lain. Usaha pelestarian ini perlu dipertingkatkan agar tulisan jawi yang merupakan warisan peradaban Melayu tidak ketinggalan dalam zaman kemodenan
Metodologi Penulisan dan Verifikasi Hadis-Hadis Khutbah Jumaat: Tumpuan Kepada Teks Khutbah Terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Tahun 2023: Methodology of Writing and Verification of Friday Sermon Hadiths: Focus on The Sermon Texts Published by The Terengganu State Religious Affairs Department (JHEAT) In 2023
Khutbah Jumaat ialah ucapan berbentuk pidato yang disampaikan oleh khatib pada hari Jumaat. Khutbah juga merupakah salah satu platform dalam menyampaikan dakwah secara lisan dan medium untuk menyalurkan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat Islam berkenaan dengan akidah, syariah mahupun akhlak. Walau bagaimanapun, kini hadis-hadis yang berstatus mardud sangat mudah ditemui dalam buku-buku bacaan awam, kitab-kitab jawi, majalah, surat khabar, koleksi kuliah-kuliah agama dan tidak ketinggalan khutbah-khutbah Jumaat. Ekoran daripada itu, penyelidikan ini dilaksanakan untuk mengetahui autoriti kesemua hadis yang termuat di dalam khutbah Jumaat keluaran Unit Khutbah dan Pengukuhan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi tahun 2023 yang bermula pada 6 Januari sehingga 29 Disember. Selain itu, kajian ini turut memfokuskan kepada metodologi penulisan khutbah Jumaat daripada empat sisi iaitu analisis tajuk khutbah mengikut tema, penggunaan hadis menerusi teks khutbah, metode penyampaian hadis dalam teks khutbah dan taburan riwayat dalam teks khutbah. Penelitian ini mengkombinasi antara dua metodologi yang iaitu analisis kandungan dan perbandingan demi mencapai objektif-objek kajian. Alhasil, kajian mendapati judul khutbah berdasarkan tema teks khutbah Jumaat dibahagi secara tidak sekata. Selain itu, metode penyampain hadis didapati tidak menepati standard yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pun begitu, majoriti hadis yang diguna pakai atau berjumlah 51 hadis di dalam teks khutbah terdiri daripada riwayat sheikhān. Akhirnya, pengkaji mendapati sebanyak 62 hadis atau 62% berstatus antara sahih dan hasan, manakala 38 hadis atau 38% bertaraf daif
Kajian Kes Ajaran Sesat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur : A Case Study of Heretical Teachings in Federal Territory Kuala Lumpur
Kes-kes berkaitan ajaran sesat dilihat semakin mudah tersebar di negara kita. Kemunculan pelbagai bentuk ajaran sesat yang baru juga memberikan cabaran kepada pihak penguatkuasa dan pendakwa syarie bagi mengendalikan proses penguatkuasaan dan pendakwaan. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji konsep ajaran sesat dan doktrin yang menyeleweng daripada ajaran Islam, menganalisis kes-kes ajaran sesat khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mendapatkan data yang terkini, mengenal pasti isu dan cabaran mengenainya serta mencadangkan pembaharuan yang boleh dilaksanakan mengikut kerangka undang-undang. Metodologi penyelidikan yang digunakan dalam kajian ini adalah melalui kajian kepustakaan, kajian dokumentasi dan temu bual responden yang berkaitan telah dijalankan oleh penulis untuk merealisasikan kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa kes-kes ajaran sesat mengambil masa yang agak lama untuk didakwa di mahkamah syariah diatas beberapa faktor. Terdapat juga beberapa isu atau cabaran yang kontemporari seperti kemajuan teknologi yang semakin pesat, cabaran penyiasatan di alam siber dan lain-lain. Implikasi kajian ini agar dapat menambahbaik undang-undang jenayah syariah yang sedia ada dan penguatkuasaan mengenainya.
Analisis Fiqh Al-Bi’ah Menurut Perspektif Maqasid Al-Sunnah dan Aplikasinya dalam Konteks Masa Kini: Analysis of Fiqh Al-Bi’ah From the Perspective of Maqasid Al-Sunnah and Its Application in Contemporary Context
Fiqh al-Bi’ah adalah ilmu yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar berdasarkan prinsip Islam. Ilmu ini menggambarkan konsep penjagaan alam sekitar yang telah diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW lebih daripada 1400 tahun yang lalu. Namun, pemisahan antara sains dan agama telah menyebabkan pengabaian etika terhadap alam sekitar, yang dapat dilihat melalui statistik pencemaran udara di Malaysia. Oleh itu, kajian ini amat diperlukan untuk meneliti kembali teks hadith mengenai Fiqh al-Bi'ah dalam al-Kutub al-Tis’ah. Kajian ini berusaha mengisi kekosongan dalam penyelidikan mengenai integrasi nilai-nilai Islam dalam penjagaan alam sekitar yang kritikal dalam menangani isu-isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar masa kini. Melalui analisis kritikal, kandungan hadith-hadith dianalisis dan prinsip-prinsipnya dibina mengikut perspektif Maqasid al-Sunnah serta aplikasinya dalam konteks masa kini. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif, dengan pengumpulan data melalui dokumentasi dan analisis data menggunakan kaedah analisis kandungan. Sejumlah 40 hadith berkaitan Fiqh al-Bi'ah dalam al-Kutub al-Tis’ah telah dianalisis dan boleh dibahagikan kepada empat tema utama: air, bumi, haiwan, dan tumbuhan, serta gaya hidup manusia. Hadith-hadith ini disusun berdasarkan prinsip Maqasid al-Sunnah dan membentuk tujuh prinsip utama yang kemudian diaplikasikan dalam konteks masa kini. Kajian ini juga mencadangkan agar kajian lanjut mengenai pelaksanaan Fiqh al-Bi’ah dalam masyarakat dijalankan supaya ilmu ini tidak hanya kekal pada peringkat teori semata-mata.Fiqh al-Bi’ah is a field of knowledge related to environmental preservation based on Islamic principles. This field reflects the concept of environmental care introduced by Prophet Muhammad SAW more than 1400 years ago. However, the separation between science and religion has led to a neglect of ethical considerations towards the environment, as evident from the air pollution statistics in Malaysia. Therefore, this study is crucial to re-examine the hadith texts on Fiqh al-Bi'ah in al-Kutub al-Tis’ah. This study aims to fill the gap in research on the integration of Islamic values in environmental preservation, which is critical in addressing current environmental pollution and degradation issues. Through critical analysis, the content of these hadiths is analyzed and their principles are constructed according to the perspective of Maqasid al-Sunnah and their application in the contemporary context. This study employs a qualitative methodology, with data collection through documentation and data analysis using content analysis methods. A total of 40 hadith related to Fiqh al-Bi'ah in al-Kutub al-Tis’ah have been analyzed and can be divided into four main themes: water, earth, animals and plants, and human lifestyle. These hadiths are organized based on the principles of Maqasid al-Sunnah and form seven main principles that are then applied in the contemporary context. The study also suggests further research on the implementation of Fiqh al-Bi’ah within society to ensure that this knowledge does not remain theoretical only
Peranan Sekolah Dan Pendidik Dalam Usaha Meningkatkan Penghayatan Akhlak Pelajar Menurut Perspektif Islam: The Role of Schools and Educators in Enhancement of Students' Moral Understanding according to the Islamic Perspective
Penghayatan akhlak pelajar mengandungi maksud pelajar dapat mengamalkan ajaran agama secara komprehensif sama ada dari segi percakapan, membuat keputusan, tindakan yang melibatkan urusan kehidupan dengan berasaskan ilmu pengetahuan, kefahaman dan amalan mereka. Menerusi pendidikan agama dan penerapan nilai murni di sekolah memainkan peranan penting terhadap pembentukan sahsiah pelajar khususnya para remaja bagi melahirkan insan yang memiliki kualiti peribadi yang holistik dari aspek mental, fizikal, emosi dan spiritual seiring dengan kehendak negara. Kertas ini mengetengahkan tentang faktor yang mempengaruhi akhlak pelajar, diikuti penjelasan akhlak pelajar menurut perspektif Islam serta peranan pihak sekolah dan pendidik dalam usaha meningkatkan penghayatan akhlak pelajar. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melibatkan kajian perpustakaan dan dianalisis menerusi penelitian secara induktif. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa faktor yang dikemukakan mempengaruhi akhlak pelajar seperti faktor didikan ibu bapa, faktor persekitaran (iklim dini), faktor permakanan (halalan toyyiban) dan faktor amalan agama. Manakala perbincangan mengenai akhlak berdasarkan sumber al-Quran dan hadith turut dikukuhkan dengan beberapa pandangan ulama. Secara keseluruhan, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pihak sekolah dan para pendidik dalam melaksanakan pendidikan secara formal dan informal yang berterusan dapat memberi impak yang positif terhadap penghayatan akhlak pelajar di samping menghayati nilai-nilai yang baik untuk dijadikan sebagai amalan hidup mereka bagi memperoleh keseimbangan dunia dan akhirat. Hal ini turut membuktikan bahawa kajian ini bermanfaat untuk diambil perhatian agar para pendidik menerapkan aspek praktikal dalam menuntut ilmu yang merangkumi persiapan secara luaran dan dalaman kepada para pelajar dalam usaha meningkatkan penghayatan akhlak mereka di samping menerapkan budaya islamik dalam pendidikan di negara ini. Menerusi kajian ini memberi implikasi dalam mewujudkan kelangsungan hubungan antara beberapa pihak berkepentingan bagi memastikan pembentukan dan penghayatan akhlak pelajar sewajarnya diberi perhatian dan dapat dilaksanakan dengan baik.