RUMPUN (E-Journal)
Not a member yet
151 research outputs found
Sort by
Naratif Perjuangan dan Kejayaan Jasni Matlani Dalam Teks Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani
Artikel ini menganalisis perjalanan hidup Jasni Matlani dari pinggiran ke pentas dunia sebagai seorang penulis dalam karya autobiografinya berjudul Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani. Fokus diberikan kepada bagaimana Jasni membina cerita tentang perjalanan dunia kreatifnya bermula darioada kerjayanya dalam bidang perbankan di Beaufort, Sabah dan seterusnya ke pentas sastera kebangsaan Malaysia. Dengan menggunakan Teori Naratif Jerome Bruner, makalah ini menghuraikan bagaimana pengalaman peribadi Jasni diolah menjadi naratif yang memberi makna kepada identiti, perjuangan dan suara pinggiran ke pentas dunia sastera di Malaysia. Analisis kualitatif mendapati memoir ini menampilkan perjuangan merentasi batas geografi dan sosial, sekaligus membentuk naratif yang mengangkat namanya wacana sastera nasional. Kajian ini menyumbang kepada pengembangan kajian memoir Malaysia, serta memperlihatkan bagaimana seebuah memoir mampu menjadi medium kepada penulis untuk menyuarakan hal-hal penting di sekeling kepada khalayak, mewakili kelompok masyarakatnya
Pengurusan Efektif Bagi Memperkasakan Pembinaan Insan Dalam Novel Naratif Ogonshoto
Pengurusan strategik dalam pembinaan insan merujuk kepada proses terancang yang mengintegrasikan pemikiran analitikal dan pertimbangan intelektual untuk mencapai matlamat pembangunan sahsiah dan identiti diri secara sistematik dan efektif. Perancangan ini penting dalam sesebuah organisasi kerana ia menyediakan arah tuju yang jelas dan memungkinkan penilaian prestasi yang terukur. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti prinsip-prinsip pengurusan serta menganalisis langkah-langkah pengurusan yang terkandung dalam novel Naratif Ogonshoto. Pembinaan insan memerlukan perancangan nilai, pelaksanaan pendidikan, kepimpinan yang berintegriti, serta pemerkasaan minda dan jati diri, yang disokong oleh pemantauan berterusan untuk memastikan transformasi holistik. Elemen-elemen ini turut tercermin dalam Naratif Ogonshoto melalui simbolisme perjuangan dan kesedaran sosial yang terkandung dalam naratifnya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian teks, mengumpul data daripada sumber perpustakaan dan analisis kandungan berkaitan pengurusan efektif: memperkasakan pembinaan insan terhadap novel Naratif Ogonshoto. Hasil kajian mendapati bahawa novel ini mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan seperti pengenalpastian masalah, pelaksanaan strategi, dan penilaian impak tindakan, yang terungkap melalui konflik, tindakan watak, dan transformasi sosial dalam karya tersebut. Prinsip-prinsip ini berfungsi sebagai saluran untuk menyampaikan mesej pembinaan insan, menunjukkan potensi karya sastera sebagai medium kritikan sosial melalui pendekatan pengurusan. Kajian ini menegaskan bahawa Naratif Ogonshoto berjaya mengintegrasikan nilai-nilai pengurusan dan pembinaan insan, sekali gus membuka ruang untuk pendekatan interdisiplin antara sastera dan pengurusan
Corak Pengurusan Organisasi Dalam Novel Anugerah Karya Zaharah Nawawi
Novel merupakan hasil karya sastera kreatif yang terlahir daripada idea, pemerhatian, serta penaksiran penulis terhadap realiti kehidupan masyarakat. Ia mengandungi jalan penceritaan yang mencerminkan pelbagai aspek, termasuk kebudayaan, adat, nilai, sistem sosial, falsafah, dan kritikan sosial, sekali gus berfungsi sebagai medium didaktik kepada khalayak pembaca. Berdasarkan sorotan kajian terdahulu, didapati bahawa aspek corak pengurusan organisasi dalam novel Anugerah karya Zaharah Nawawi masih belum dikaji secara mendalam. Kajian-kajian sebelum ini lebih menumpukan kepada nilai Islam, keindahan, dan kemasyarakatan melalui pemikiran penulis, selain aspek perundangan serta nilai kemanusiaan. Namun, kajian ini memberi fokus yang lebih khusus kepada corak pengurusan organisasi, sekali gus mengisi kelompangan yang wujud dalam kajian sastera sebelumnya. Kajian ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis corak pengurusan organisasi dalam novel Anugerah karya Zaharah Nawawi. Novel ini, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996, dijadikan bahan utama dalam analisis data. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah kepustakaan dan kajian teks sebagai metodologi utama. Selain itu, Teori Pengurusan Henry Fayol (1916) diaplikasikan sebagai asas deduktif dalam membina analisis yang relevan. Hasil kajian membuktikan bahawa corak pengurusan organisasi dalam novel ini disusun secara sistematik, mudah difahami, serta mengarah kepada nilai-nilai positif dalam urusan pentadbiran. Hal ini menonjolkan kepentingan elemen pengurusan dalam karya sastera sebagai cerminan realiti sosial
Kesalahan Tanda Baca Pelajar Bukan Penutur Jati dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu
Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua sering kali dituturkan oleh seseorang yang bukan penutur jati bahasa Melayu. Bahasa Melayu ini dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di Malaysia. Namun demikian, masyarakat bukan penutur jati di Malaysia masih lagi tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada dalam aspek komunikasi mahupun mengarang sesebuah penulisan karangan dalam bahasa Melayu. Penggunaan tanda baca sering kali dilupakan oleh masyarakat sama ada penutur jati mahupun penutur bukan jati semasa mengarang sesebuah penulisan. Justeru, penggunaan tanda baca yang betul dan tepat perlu dititikberatkan kerana merupakan aspek penting dalam menghasilkan sesebuah penulisan bahasa Melayu. Kajian yang dilakukan ini adalah menggunakan pendekatan kualitatif untuk mengenal pasti jenis kesalahan tanda baca yang dilakukan oleh pelajar bukan penutur jati dalam penulisan karangan bahasa Melayu. Seramai 11 orang pelajar bukan penutur jati bagi Program Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ini dijadikan sebagai sampel kajian. Data diperoleh melalui kaedah kepustakaan, kaedah analisis teks karangan, dan temu bual tidak berstruktur, serta dianalisis berdasarkan Teori Analisis Kesalahan Corder (1973) dan pendekatan Gaya Dewan Edisi Keempat (2024). Hasil kajian mendapati sampel bukan penutur jati tersebut melakukan pelbagai jenis kesalahan tanda baca seperti tanda koma, tanda petik, dan tanda sempang. Faktor utama yang menyumbang kepada kesalahan tersebut adalah pengaruh bahasa ibunda dan media sosial. Oleh itu, dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu pelajar bukan penutur jati untuk menguasai penggunaan tanda baca yang betul dan tepat semasa menghasilkan sesebuah penulisan bahasa Melayu
Nasionalisme Dalam Kumpulan Sajak Laut, Sungai dan Kita Karya Morsidi M.H
Sajak menjadi pilihan popular dalam kalangan penulis Brunei. Sifat sajak yang bebas dan longgar dalam menyampaikan pemikiran menjadi penyebab kemunculan bentuk sajak mendahului genre lain di Brunei. Persoalan kebangsaan dan semangat patriotik menjadi persoalan dominan yang digemari penyajak Brunei. Selaku seorang guru, pensyarah, pengkritik dan penyelidik sastera, Morsidi M.H begitu memahami situasi perkembangan persajakan di Brunei. Hal ini sekaligus mempengaruhi penciptaan karya sajak beliau yang dapat diperhatikan dalam bukunya Kumpulan Sajak Sungai, Laut dan Kita yang diterbitkan pada 2021. Buku ini mengandungi 57 buah puisi dan terbahagi kepada empat tema iaitu Nadi dan the Kembara Hidup (20 sajak), Tanah Air (7 sajak), Alam dan Erti Kehidupan (12 sajak), dan Introspeksi dan Hakikat Kehidupan (18 sajak). Sesuai dengan isi dan tajuk, kumpulan puisi ini menyajikan kehidupan seiring dengan masa yang sentiasa bergerak ke hadapan. Sekaligus menampilkan semangat nasionalisme Morsidi M.H dan kebimbangan beliau terhadap perjuangan dan nasib bangsa. Ternyata sajak-sajak di bawah tema Tanah Air secara langsung memperkatakan tentang nasionalisme. Sajak-sajak ini menarik perhatian penelitian kerana setiap satu satu sajak ini amat berkaitan dan saling kait mengait dan membawa hal sejarah, kolonial, kemerdekaan, kegemilangan umpamanya yang dapat ditafsirkan sebagai suntikan semangat nasionalisme yang berterusan dan tidak ada noktahnya. Oleh yang demikian, berdasarkan pendekatan pragmatik dapat membantu memperlihatkan ke mana arah sajak-sajak ini membawa khalayaknya (pembaca) tentang erti tanah air. Dapatan penelitian ini cinta dan kasih tanah air memaknakan pelbagai nilai murni kehidupan berbangsa, berugama dan bernegara untuk terus mekar di setiap generasi sehingga kekal utuh berdiri sebuah bumi yang bernama Negara Brunei Darussalam
Motif Hayat Ağacı: Dari Anatolia ke Nusantara
Kajian ini meneroka ciri-ciri identiti motif Hayat Ağacı (Pohon Kehidupan) dalam seni hiasan yang berkembang dalam tamadun Seljuk Anatolia, Turki Uthmaniyah dan Nusantara. Melalui penyelidikan berasaskan lapangan dan kaedah pemerhatian, kajian ini meneliti keberadaan motif Hayat Ağacı dalam ragam hias ukiran mimbar merentasi pelbagai konteks budaya dan sejarah. Penerokaan terhadap subjek kajian dilakukan di empat [4] buah masjid dalam wilayah Turki iaitu Karamanoglu Camii [1155] di Aksaray, Divrigi Camii [1288] di Sivas, Aslanhane Camii [1289/1290] di Ankara dan Bursa Ulu Camii [1399] di Bursa manakala dua [2] buah,masjid Nusantara iaitu Masjid Tgk. Di Pucok, Pidie, Aceh [1620] dan Masjid Losong Haji Mohd, Terengganu [1810]. Dapatan kajian menunjukkan wujudnya pengaruh identiti yang dikongsi bersama oleh para pengukir mimbar, walaupun terdapat perbezaan dari segi latar budaya dan tempoh masa. Selain itu, kajian ini turut mendokumentasikan variasi rupa bentuk motif Hayat Ağacı yang unik, sekali gus menekankan peranannya sebagai simbol penyatuan dalam seni warisan Islam di rantau dunia Islam
Identiti dan Perjuangan Penulis Wanita Dalam Sastera Melayu Kontemporari
Kajian ini merupakan sebuah kajian berbentuk kualitatif menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis dekskriptif. Objektif kajian ini ialah mengkaji dinamika kepengarangan penulis wanita Pantai Timur melalui analisis terhadap karya dua penulis wanita kontemporari Malaysia, iaitu Fatimah Busu dan Rebecca Ilham. Permasalahan kajian berpusat pada persoalan bagaimana kedua-dua pengarang ini mewakili pengalaman wanita dalam konteks budaya Timur yang dipengaruhi oleh struktur patriarki, tradisi, dan cabaran modeniti. Objektif utama kajian ini ialah untuk menelusuri pendekatan naratif, tema feminisme, dan wacana identiti wanita yang diketengahkan oleh Fatimah Busu dan Rebecca Ilham serta membandingkan bentuk resistensi yang mereka tampilkan terhadap norma sosial. Dari sudut metodologi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk analisis teks dengan meneliti karya terpilih kedua-dua penulis berdasarkan kerangka teori feminisme pascakolonial dan pendekatan sosiobudaya. Hasil dapatan menunjukkan bahawa Fatimah Busu cenderung kepada kritikan sosial dan gaya realisme sosiologis dalam mengangkat isu wanita desa dan marginalisasi, manakala Rebecca Ilham lebih menonjolkan pendekatan introspektif dan eksistensial dalam mendedahkan konflik batin wanita urban dalam persekitaran moden. Implikasi kajian ini memperlihatkan bahawa karya penulis wanita Timur berperanan penting dalam memperkayakan wacana kesusasteraan wanita dan memperkukuh suara intelektual wanita dalam ruang sastera kebangsaan, sekali gus mencerminkan kebangkitan kesedaran gender dan budaya dalam masyarakat Malaysia
Eksposasi Watak dan Perwatakan Binatang Dalam Tinimungan Tangon Kadazandusun
Watak dan perwatakan binatang merupakan salah satu dari unsur kritikan masyarakat yang dinamakan unsur satira. Oleh itu, kajian ini dihasilkan bertujuan untuk membuat penelitian mengenai watak dan perwatakan binatang dalam himpunan cerita rakyat Kadazandusun iaitu cerita Ulat Pisang dan Kera, Katak dan Tikus, Buaya Menjadi Manusia dan Rama-Rama. Selain itu, kajian ini juga akan menghuraikan berkenaan realiti dan fantasi dalam cerita binatang. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti watak dan perwatakan; menganalisis realiti dalam cerita binatang dengan menggunakan teori semiotik Piece (1965). Dalam kajian ini, pendekatan yang digunakan ialah pendekatan kualitatif iaitu kaedah kepustakaan dan analisis teks. Instrumen kajian ialah senarai semak pemerhatian berdasarkan Teori Semiotik Piece. Teks-teks karya yang digunakan sebagai data kajian ialah Ulat Pisang dan Kera, Katak dan Tikus, Buaya Menjadi Manusia dan Rama-Rama. Dapatan kajian tentang aspek watak dan perwatakan menunjukkan binatang sebagai ‘Makhluk Konseptual’ adalah binatang (dalam) fikiran yang digunakan dalam tanda suatu bahasa atau simbol dalam suatu sistem atau kod. Binatang dalam makna ini dijadikan sebagai bahasa kiasan, misalnya metafora, simile atau alegori (Sony Sukmawan, 2016). Bagi dapatan objektif kedua, pengkaji mendapati cerita-cerita ini akan dapat membantu masyarakat khasnya kanak-kanak untuk menyuburkan daya imaginasi, memahami dunia baru atau misteri dan membina impian masa depan. Implikasi kajian ialah kanak-kanak dapat mengenali watak dan perwatakan binatang secara realiti dan fantasi serta dapat menghayati nilai moral yang diterapkan oleh pengarang dalam cerita-cerita berkenaan
Pembinaan Keperibadian Diri Dalam Watak-Watak Adiwira Tempatan dan Implikasinya Kepada Interaksi Kanak-Kanak
Perkembangan pesat teknologi moden menjadikan animasi sebagai medium utama yang mempengaruhi pembentukan keperibadian kanak-kanak. Menurut teori behaviorisme, kanak-kanak cenderung meniru apa yang ditonton, manakala teori proksimiti Vygotsky menegaskan interaksi sosial sebagai faktor penting dalam perkembangan kognitif. Namun, lambakan animasi antarabangsa yang mudah diakses menimbulkan cabaran kerana tidak semuanya sesuai dengan nilai budaya tempatan. Kajian ini memberi tumpuan kepada dua animasi tempatan iaitu Ejen Ali the Movie dan Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, yang sarat dengan mesej keberanian, kepimpinan, tanggungjawab, persahabatan dan kolektivisme. Menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah pemerhatian dan temu bual bersama murid prasekolah di Terengganu dan Perak. Kajian ini bertujuan menganalisis nilai keperibadian watak adiwira, menilai implikasinya terhadap interaksi kanak-kanak, serta menghubungkaitkannya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dapatan menunjukkan bahawa animasi tempatan berpotensi besar membentuk sahsiah positif dan meningkatkan kemahiran interaksi sosial kanak-kanak
Komunikasi Persuasif Dalam Politik Dan Penerimaan Generasi Yz di P091 Negeri Pahang
Kajian ini bertujuan meneliti penerimaan pengundi muda Generasi YZ terhadap komunikasi persuasif dalam politik serta faktor yang mendorong mereka mengundi dalam Pilihan Raya Malaysia (PRU), dengan fokus kepada kawasan Parlimen P091 Rompin, Pahang. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti hubungan antara komunikasi persuasif dengan keupayaan mempengaruhi Generasi YZ serta faktor motivasi pengundian mereka. Kajian ini berpandukan Teori Instrumental of Persuasion oleh Kotler dan Armstrong (2008) dan menggunakan pendekatan kuantitatif melalui edaran borang soal selidik. Seramai 310 responden dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri, iaitu N40 Bukit Ibam, N41 Muadzam Shah dan N42 Tioman. Data dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 29 melibatkan analisis statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan positif yang signifikan antara komunikasi persuasif dalam politik dengan keupayaan mempengaruhi Generasi YZ serta faktor pendorong pengundian. Walaupun 87.0% responden menerima slogan dan dasar kerajaan, 69.0% cenderung untuk mengundi selain pihak kerajaan dalam PRU akan datang. Kesimpulannya, komunikasi persuasif memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan penyertaan politik pengundi muda. Kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemahaman trend partisipasi politik generasi muda di Malaysia