1,721,008 research outputs found

    Geopolitik dan program perumahan rakyat di Kuala Lumpur pasca pilihan raya umum ke-13 / Junaidi Awang Besar

    Full text link
    Perumahan didefinisikan sebagai satu siri rumah-rumah yang disatukan di sebuah kawasan petempatan. Dalam satu unsur perumahan, terdapat beberapa sub-unsur rumah-rumah dengan segala kemudahan fizikal seperti kedai, sekolah dan lain-lain. Geografi perumahan melibatkan analisis sektor utama ekonomi negara, peranan institusi dan agensi, perubahan sosial dan demografi, migrasi dan faktor persekitaran. Bidang tersebut juga berkait dengan proses penetapan lokasi oleh isi rumah, guna tanah, amalan pembangunan setempat, pelaburan dan pasaran hartanah serta struktur ekonomi dan politik. Justeru, adalah menjadi tujuan penyelidikan ini untuk menganalisis faktor politik dan sosioekonomi di kawasan PPR pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Berdasarkan data soal selidik terhadap 1,069 responden di 25 perumahan PPR dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kajian kualitatif berdasarkan temubual dengan penghuni PPR dan pegawai DBKL serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kajian sekunder terhadap bahan-bahan akademik yang berkenaan didapati dari segi politik, responden menyatakan penyediaan rumah PPR oleh Kerajaan Pusat/BN telah mempengaruhi mereka untuk menyokong BN dalam PRU 2013 yang lalu. Mereka juga memilih calon yang jujur dan amanah serta mesra rakyat serta menyokong parti yang dapat memacu pembangunan dan membasmi kemiskinan. Mereka turut menyatakan rakyat menyokong BN kerana berpengalaman, janji ditepati serta mengenang jasa pemimpin BN terdahulu manakala rakyat mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat kerana adil dan janji yang ditawarkan adalah menarik dan menguntungkan rakyat. Seterusnya responden juga bersetuju dengan transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri seterusnya menyokong BN dalam PRU 2013 yang lalu. Seterusnya dari sudut sosial pula, kehidupan bersosial dan perpaduan kaum antara satu keluarga dengan keluarga lain juga muhibah, mesra dan harmoni dengan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Penduduk PPR dengan kerjasama pihak DBKL dan wakil rakyat di kawasan mereka. Namun demikian, kemudahan awam seperti penyelenggaraan lif, tempat pembuangan sampah dan kawasan pakir perlu diambil perhatian oleh pihak yang berwajib untuk memastikan kehidupan mereka selesa dan sihat. Selain itu, gejala sosial dalam kalangan golongan muda agak sukar ditangani disebabkan faktor pengaruh rakan dan juga kesan penggunaan media sosial yang tidak terbatas. Dapatan kajian dari segi ekonomi pula mendapati kehidupan penghuni PPR telah berubah dan lebih baik jika dibandingkan dengan kehidupan di penempatan setinggan. Situasi ekonomi mereka juga bertambah baik dengan pekerjaan serta logistik yang sesuai untuk ke tempat kerja mereka. Justeru, semua pihak terutamanya ibubapa atau penjaga kepada remaja ini perlu mengambil tahu serta bertanggungjawab terhadap aktiviti harian anak-anak mereka agar masalah sosial dan jenayah di kawasan mereka dapat dikawal untuk mewujudkan situasi kehidupan yang aman, tenteram dan lebih harmoni

    Pengaruh gerrymandering terhadap pola pengundian di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Bangi, Malaysia

    No full text
    Persempadanan sesuatu Bahagian Pilihan Raya di Malaysia dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hal ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dilakukan setiap 10 tahun sekali berlandaskan kepada keadaan geografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi serta kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi DUN. Namun amalan tersebut boleh memberi kelebihan kepada pemerintah sekiranya wujud gerrymandering. Justeru itu dalam artikel ini, kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Bangi dipilih sebagai kes kajian untuk memeriksa pengaruh gerrymandering 2003 terhadap pola pengundian khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan PRU 2008. Berdasarkan data keputusan pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR didapati bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 memang memberi kesan kepada keputusan PRU 2004 iaitu memberi kelebihan kepada parti pemerintah. Namun pada PRU 2008 calon PAS dan PKR telah memenangi masing-masing kerusi DUN Bangi dan Kajang kerana terkesan oleh pelbagai isu nasional dan krisis kepemimpinan BN. Impak gerrymandering persempadanan semula kawasan pilihan raya terhadap keputusan pilihan raya yang menyebelahi pemerintah umumnya hanya bersifat sementara sahaja

    Impak pembangunan perumahan terhadap geopolitik bandar

    No full text
    Pola taburan penduduk di Malaysia masih lagi ketara mengikut kaum dan sentimen kenegerian. Dominasi sesuatu kaum di sesebuah kawasan perumahan dan bandar menjadikan kaum tersebut lebih kuat dari aspek geopolitik dan mempengaruhi pemilihan kaum calon atau pemimpin yang akan bertanding dalam pilihan raya. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis impak pembangunan perumahan terhadap geopolitik bandar di Kuala Lumpur. Kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian di lapangan dan kajian kepustakaan serta data primer daripada pihak berkuasa perumahan. Hasil kajian mendapati pembangunan perumahan telah menambahkan kuasa undi/geopolitik kaum tertentu di sesebuah kawasan di Kuala Lumpur. Majoriti orang Melayu tinggal di kawasan-kawasan perumahan kos rendah yang disediakan oleh pihak kerajaan, sementara bagi kawasan perumahan mewah pula didominasi oleh kaum Cina dan segelintir orang Melayu. Justeru, bagi kawasan yang didominasi oleh kaum tertentu, sudah pasti mereka ingin melantik wakil rakyat dalam kalangan kaum mereka dan ini menunjukkan sikap perkauman masih terus mewarnai senario sosial dan politik di Kuala Lumpur khasnya dan di Malaysia amnya. Namun demikian, langkah Kerajaan Persekutuan mengumumkan program-program perumahan mampu milik untuk semua rakyat tanpa memilih kaum terutamanya penduduk bandar dilihat sebagai usaha positif untuk memastikan agar rakyat terutamanya golongan muda dapat memiliki rumah sendiri seterusnya dapat mengubah senario politik bandar ke arah mewujudkan kesejahteraan sosial kepada rakyat di negara ini

    Pengaruh media terhadap sokongan kepada parti politik di Malaysia

    No full text
    Akses sumber maklumat kini wujud dalam pelbagai jenis sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tidak kiralah apa bentuk dan rupa sumber maklumat itu, iainya mampu mempengaruhi pemikiran dan tindak tanduk seseorang dalam kecenderungan memilih sesebuah parti politik. Bagi konteks pilihan raya di Malaysia, sebelum wujudnya media alternatif atau online, rakyat Malaysia banyak bergantung harap dan lebih mempercayai media arus perdana sehingga ppengaruh parti politik Barisan Nasional (BN) dilihat lebih kuat. Namun begitu, apabila media alternatif menguasai pengaruh sumber maklumat yang boleh diakses tanpa had, landskap politik Malaysia semakin berubah dan pengaruh BN juga terhakis sedikit demi sedikit sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar. Justeru, adalah menjadi objektif penulisan artikel ini untuk menganalisis pengaruh media terhadap sokongan kepada parti politik di Malaysia. Berdasarkan borang soal selidik yang diedarkan kepada 96,684 orang responden di seluruh Malaysia, hampir kebanyakannya mendapatkan maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan Whataspp. Kecenderungan pengundi yang mengakses maklumat melalui media alternatif ini menunjukkan sokongan mereka lebih kepada parti pembangkang memandangkan parti ini yang banyak menguasai media alternatif. Disebabkan itu juga, pengaruh media alternatif ini telah berjaya mengubah landskap politik negara apabila tumbangnya kerajaan BN memandangkan media arus perdana dilihat ketinggalan jauh dalam memainkan peranannya sebagai ejen penyebar maklumat yang unggul

    Penilaian awal impak perlaksanaan Dasar Perumahan Negara terhadap sektor perumahan di Kuala Lumpur

    No full text
    Dasar Perumahan Negara (DRN) diwujudkan untuk menggariskan halatuju serta dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sektor perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Perumahan merupakan salah satu keperluan asas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara. Justeru, pengimplimentasian dasar perumahan dapat memberi implikasi kepada pembangunan sosioekonomi dan politik setempat dan nasional. Oleh itu adalah tujuan artikel ini untuk menjelaskan pengaruh dasar perumahan negara melalui pembangunan perumahan di sesuatu kawasan yang akan memberi impak geopolitik, geoekonomi dan geososial dalam jangka masa panjang. Berdasarkan kajian sekunder dan pemerhatian serta temubual di lapangan (Kuala Lumpur), didapati bahawa Dasar Perumahan Negara yang menggalakkan perkembangan sektor perumahan yang pesat telah menyebabkan kuasa geopolitik melalui hak untuk mengundi (politik) semakin tinggi melalui pendaftaran sebagai pemilih/pengundi di sesuatu kawasan seterusnya mempengaruhi sokongan kepada parti politik dan keputusan pilihan raya mengikut lokaliti. Pengaruh perkembangan pembangunan perumahan juga mengukuhkan geoekonomi setempat dengan peningkatan taraf hidup, kuasa beli dan pasaran barangan dari semasa ke semasa. Dari sudut impak geososial, dasar perumahan negara memangkin pembangunan yang seimbang melalui penambahbaikan elemen kemudahan sosial seperti pembangunan komuniti dan kejiranan serta pertambahan penduduk, keselamatan sosial pembinaan persekitaran sosial dan bersatu dan selamat

    Impak sosioekonomi dan politik program perumahan rakyat Lembah Subang, Selangor

    No full text
    Perumahan yang sempurna ialah yang dapat memenuhi keperluan penghuni, memberi kesejahteraan kepada isi rumah dan seterusnya memacu kepada peningkatan kualiti hidup. Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan program pembangunan rumah untuk rakyat di kawasan bandar yang tidak mempunyai kediaman sendiri sama ada untuk disewa atau dimiliki mengikut kawasan. Program ini memberi manfaat kepada penghuni bandar untuk menjalani kehidupan yang selesa seterusnya dapat mencapai kesejahteraan hidup. Namun terdapat tiga isu sosioekonomi dalam pelaksanaan skim PPR ini iaitu perpaduan, sosial dan ekonomi. Justeru, tujuan penulisan artikel ini untuk membincangkan impak sosioekonomi dan politik terhadap Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Selangor. Kajian ini menggunakan metodologi secara kuantitatif melalui penggunaan instrumen borang soal selidik bagi mengumpul data daripada responden. Seramai 360 orang responden terlibat dan rujukan terhadap data sekunder iaitu artikel jurnal, kertas persidangan/seminar dan buku-buku ilmiah yang berkaitan diperlukan bagi menjayakan kajian. Hasil kajian mendapati majoriti responden bersetuju terhadap pelaksanaan perumahan PPR dan program ini telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi, mengurangkan masalah sosial dan mewujudkan perpaduan untuk memenuhi aspirasi negara dalam mencapai matlamat 1 Malaysia. Program ini juga telah memberikan nilai tambah terutamanya sokongan kepada Kerajaan Persekutuan. Akhir sekali, impak kepada kajian ini penting sebagai panduan kepada pihak pelaksana dasar untuk mengetahui pandangan masyarakat bagi memastikan kejayaan proses pelaksanaan di masa akan datang dan melakukan penambahbaikan dasar berkenaan yang sesuai mengikut keperluan semasa

    Persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 dan impaknya kepada pilihan raya umum (PRU) 2008 di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Kajang dan Bangi, Selangor

    No full text
    Persempadanan kawasan dibentuk daripada sempadan dan had ruang yang telah ditetapkan secara absah oleh pihak berkuasa. Di Malaysia, persempadanan sesuatu kawasan berbeza mengikut bidang kuasa pentadbiran pihak yang berautoriti iaitu merangkumi persempadanan pentadbiran pejabat tanah dan daerah, pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam konteks persempadanan bahagian pilihan raya di Malaysia, ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu persempadanan bahagian pilihan raya perlu dilakukan setiap 10 tahun sekali berlandaskan kepada keadaan geografi dan topografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi serta kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi DUN. Namun demikian, setelah persempadanan semula tersebut dibuat dan diluluskan, terdapat unsur-unsur yang dilihat menguntungkan pemerintah dalam usaha bagi mengukuhkan strategi bagi mengekalkan kuasa/geopolitik yang disebut sebagai gerrymandering. Justeru dalam artikel ini, secara mikronya kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Bangi dipilih sebagai kawasan kajian untuk mengenalpasti kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 terhadap pilihan raya umum. Berdasarkan temubual, pemerhatian di lapangan dan kajian kepustakaan didapati bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 menyebabkan berlakunya perubahan bilangan pemilih secara keseluruhan, perubahan bilangan pemilih mengikut kaum, perubahan kedudukan dan pertambahan serta pengurangan daerah mengundi, pertambahan kerusi DUN/konstituensi, perubahan kedudukan DUN dalam kawasan Parlimen dan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya. Persempadanan semula menyebabkan DUN Kajang dibahagikan kepada 2 kawasan iaitu DUN Kajang dan DUN Bangi dan digunapakai dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008. Persempadanan semula tersebut juga memberi kesan kepada keputusan pilihan raya umum 2004 di kawasan kajian dengan memberi kelebihan kepada parti peneraju Kerajaan Negeri dan Persekutuan iaitu Barisan Nasional (BN) namun ia berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Justeru, artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut impak persempadanan semula bahagian pilihan raya 2003 dan pola pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Bangi pada pilihan raya umum (PRU) 2008
    corecore