1,720,983 research outputs found

    Kajian linguistik dan kesantunan yang menggunakan facebook di Malaysia : satu tinjauan literatur

    No full text
    Kesantunan ialah satu bentuk perlakuan yang mewujudkan dan mengekalkan pengiktirafan diri dalam sesuatu interaksi sosial (Leech, 1983). Interaksi dengan penggunaan bahasa yang tepat merupakan kesantunan bahasa yang menjadi asas untuk menjamin keharmonian perbualan antara penutur dan pendengar (Grice, 1975; Grundy, 2000; Rabahyah dan Zaitul Azma, 2017). Kesantunan bahasa yang digunakan di laman facebook oleh pengguna di Malaysia menunjukkan pelbagai fungsi dan maksim dalam penyampaian mereka secara tulisan. Sebagai contoh, meminta, mendesak, menyatakan, beramah tamah, mengecam dan sebagainya. Oleh itu, kajian ini adalah untuk mengkaji kesantunan bahasa yang digunakan dalam ruangan komen di laman facebook. Kajian ini adalah untuk menganalisis kajian linguistik yang menggunakan laman facebook oleh pengguna di Malaysia. Kajian ini juga untuk mengenal pasti kajian linguistik tentang kesantunan bahasa di laman facebook oleh pengguna di Malaysia berdasarkan kajian-kajian terdahulu. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan yang merujuk kajian-kajian lepas sebagai bahan kajian. Dapatan kajian mendapati bahawa terdapat banyak kajian linguistik yang dilakukan dengan menggunakan facebook di Malaysia. Namun begitu, kajian kesantunan bahasa yang menggunakan facebook adalah kurang dilakukan khususnya kajian di Malaysia

    Predikat terbahagi Bahasa Melayu : tumpuan kepada fungsi gramtid keterangan

    No full text
    Kajian ini meneliti kedudukan farasa yang berfungsi sebagai keterangan dalam ayat penyata bahasa Melayu, terutamanya ayat tunggal. Data kajian diperoleh menerusi data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka. Kajian ini bertitik tolak daripada kekeliruan fungsi gramatis keterangan yang dikemukakan dalam Tatabahasa Dewan (2009) dan Tatabahasa Asas (2012). Dari segi terminologi sintaksis, keterangan merupakan elemen yang bersifat opsyenal, namun dalam contoh yang dikemukakan oleh kedua-dua buku tatabahasa ini menimbulkan isu. Isu pertama, contoh yang dikemukakan tidak menggambarkan ciri fungsi gramatis keterangan dan isu kedua, keterangan berada di kedudukan akhir ayat. Berlandaskan isu yang dikemukakan, objektif kajian ini ialah menganalisis secara deskriptif kedudukan keterangan dalam ayat dan mengemukakan contoh ayat daripada data korpus yang menunjukkan bahawa terdapat unsur keterangan yang berada pada kedudukan awal ayat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat ayat bahasa Melayu yang keterangan dan predikat berada pada awal ayat. Di samping itu, didapati bahawa keterangan tidak semestinya berada dalam predikat, atau predikat tidak semestinya hadir selepas predikat. Predikat terbahagi, iaitu kedudukan keterangan yang berada pada awal ayat menunjukkan bahawa elemen keterangan telah mengalami proses pergerakan. Kajian ini juga berpendirian bahawa isu istilah seperti istilah keterangan perlu diselaraskan dengan konvensi linguistik supaya tidak timbul kekeliruan berkenaan fungsi gramatis keterangan

    Pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi menerusi pemetaan metafora konsepsi dalam penulisan bahagian pendahuluan karangan Bahasa Melayu

    No full text
    Kemahiran berfikir merupakan salah satu aspirasi murid yang sangat penting untuk melahirkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21. Penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu amat dititikberatkan, terutamanya dalam penulisan karangan. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menerusi pendekatan Metafora Konsepsi diperkenalkan bagi meneliti idea dalam penulisan bahagian pendahuluan karangan bahasa Melayu oleh pelajar-pelajar tingkatan lima. Kajian ini menggunakan pendekatan Metafora Konsepsi menerusi teori Semantik Kognitif yang diperkenalkan oleh George Lakoff & Mark Johnson (1980). Teori ini menggagaskan proses pemetaan yang abstrak kepada konkrit menerusi Metafora Konsepsi di samping mewajarkan proses metonimi yang terhasil menerusi pemetaan Metafora Konsepsi tersebut. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah analisis dokumen. Seramai tiga orang pelajar yang dipilih secara persampelan bertujuan untuk terlibat dalam kajian ini bagi menilai bahagian pendahuluan hasil karangan mereka berdasarkan kepada analisis elemen KBAT menerusi pendekatan Metafora Konsepsi. Instrumen senarai semak diaplikasikan sebagai metode analisis. Hasil kajian menunjukkan bahawa pemetaan idea dalam penulisan pendahuluan karangan pelajar melibatkan pelbagai jenis Metafora Konsepsi. Dapatan ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar telah membina idea pendahuluan dalam karangan jenis perbincangan dengan mengaitkan latar pengetahuan yang berhubung kait dengan pengalaman badaniah. Menerusi kajian ini, elemen KBAT yang menjadi inti pati penting dalam kurikulum negara dapat dihayati dari perspektif interdisiplin, iaitu dalam bidang Pendidikan dan bidang Semantik secara tidak langsung. Kajian berasaskan pendekatan Metafora Konsepsi bukan sahaja dapat membantu guru-guru dalam meneliti hubungan antara elemen KBAT dengan konteks kognitif pelajar, malahan dapat menjadi garis panduan bagi mengesan idea kreatif dan kritis dalam penulisan bahagian pendahuluan karangan bahasa Melayu

    Realisasi masa mula bersuara bunyi plosif dalam penghasilan bahasa Ibunda dan bahasa Melayu oleh penutur lelaki Itali

    No full text
    Kertas penyelidikan ini membentangkan dapatan daripada kajian akustik masa mula bersuara (MMS /VOT) obstruen plosif penutur lelaki Itali yang berbahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Penutur merupakan penutur jati bahasa Itali tetapi berupaya bertutur dalam beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Tagalog dan bahasa Melayu Indonesia dengan fasih. Menerusi penggunaan perisian PRAAT (Boersma, 2011) dan analisis spektrografik, kajian ini meneliti MMS bunyi plosif yang dirakam menggunakan perakam digital Sony Stereo IC ICD-PX440. Data bahasa Itali (Bit) dan bahasa Melayu (BM) telah digunakan untuk melihat ciri-ciri akustik yang boleh ditemui dalam dua bahasa berbeza yang dituturkan oleh seorang penutur yang sama. Aspek akustik yang difokuskan ialah MMS bagi bunyi di posisi awal kata. Hasil kajian ini dibandingkan dengan kajian MMS yang telah lepas. Hasil analisis realisasi kontras penyuaraan, subjek menunjukkan nilai plosif tidak bersuara [p,t] ketika menuturkan BIt adalah lebih tinggi berbanding bunyi yang sama ketika menuturkan BM. Bunyi plosif tidak bersuara [k] dalam Bit adalah lebih rendah berbanding BM. Walau bagaimanapun, nilai bunyi plosif bersuara [b,d] dalam BIt dan BM hanya berbeza sedikit sahaja berbanding bunyi [g] yang memaparkan nilai yang sangat tinggi ketika penutur menuturkan data dalam BM. Penutur ini merealisasikan MMS bunyi plosif dalam penghasilan BIt dan BM berkategori SVL lwn. VLd. Dapatan ini turut memperlihatkan kadar getaran pita suara penutur Itali ini adalah berbeza bagi penghasilan bunyi plosif velar bersuara dan tidak bersuara ketika menuturkan Bit dan BM

    Strategi pembelajaran membaca Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Wilayag Yala, Selatan Thailand

    No full text
    Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan strategi pembelajaran bahasa Melayu (SPBM) bagi kemahiran membaca dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di wilayah Yala, Selatan Thailand. Kajian ini berlandaskan Klasifikasi Strategi Pembelajaran Bahasa (Wenden, 1991) yang membahagikan strategi pembelajaran kepada dua, iaitu (i) strategi kognitif: memilih maklumat, memahami, simpan, dan dapatkan semula maklumat; dan (ii) strategi pengurusan diri: memantau atau menguruskan proses pembelajaran seperti pembelajaran kendiri. Seramai 30 orang pelajar telah dipilih secara rawak mudah bagi menjawab borang soal selidik. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Science (SPSS) versi 23.0 dengan menggunakan statistik deskriptif. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar IPT mempunyai tahap penguasaan kemahiran membaca bahasa Melayu pada tahap yang sederhana (3.23). Tumpuan ketika guru membaca teks bahasa Melayu (min, 3.60) merupakan SPB yang paling kerap digunakan oleh pelajar IPT di Yala. Kajian ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan guru bagi memilih strategi pembelajaran bahasa yang sesuai supaya dapat meningkatkan tahap penguasaan membaca bahasa Melayu dalam kalangan pelajar khususnya pelajar yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa asing

    Strategi pembelajaran adjektif oleh pelajar asing berdasarkan korpus dan medan semantik

    No full text
    Pembelajaran bahasa Melayu khususnya aspek morfologi merupakan aspek yang agak sukar dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan sejenis bahasa aglutinatif yang memanfaatkan imbuhan dalam pembentukan kata. Justeru pengajaran dan pembelajaran aspek morfologi bahasa Melayu perlu dilakukan berdasarkan kaedah yang tertentu dan berdasarkan bentuk kata yang bersifat konkrit kepada abstrak dan mudah kepada yang lebih susah. Dalam konteks morfologi, golongan kata adjektif dilihat sering menimbulkan masalah kepada pelajar asing. Hal ini demikian kerana adjektif melibatkan nilai rasa dan pandangan hidup penutur asli. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran adjektif perlu berasaskan konteks penggunaan dan tidak boleh diajarkan secara terpisah. Berdasarkan penulisan karangan pelajar-pelajar daripada dua buah universiti awam dan universiti swasta, kata adjektif sifatan atau keadaan dan kata adjektif perasaan merupakan kata adjektif yang paling banyak digunakan dengan salah oleh para pelajar. Atas sebab itu, strategi pembelajaran adjektif berdasarkan korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kaedah medan semantik dicadangkan bagi membolehkan para pelajar asing memahami penggunaan adjektif dengan betul berdasarkan konteks ayat yang betul

    Facebook sebagai medium pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis ayat gramatis dalam kalangan murid lemah Bahasa Melayu

    No full text
    Kajian ini bertujuan membincangkan penggunaan facebook sebagai medium pengajaran dan pembelajaran kemahiran membina ayat gramatis dalam kalangan murid tahun enam di sebuah sekolah rendah luar bandar di daerah kecil Debak, Sarawak. Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan kemahiran membina dan menulis ayat gramatis sekaligus meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan. Kajian ini juga bertujuan melihat kesan penggunaan facebook sebagai alat pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah terhadap keputusan peperiksaan murid. Kajian yang didasari oleh teori Pembelajaran Behaviorisme ini dan disokong oleh Model Penerimaan Teknologi Davis merupakan sebuah kajian tindakan yang menggunakan facebook sebagai alat alternatif untuk mengatasi masalah murid yang lemah membina dan menulis ayat gramatis dengan menambah Teknik ‘SALAK’ sebagai elemen rangsangan. Peserta kajian terdiri daripada tiga orang murid tahun enam yang lemah menguasai kemahiran menulis ayat gramatis. Instrumen yang digunakan adalah analisis dokumen seperti buku latihan, nota lapangan, skrip jawapan latihan di facebook, gajet atau komputer mempunyai rangkaian jalur lebar, ujian awal dan ujian akhir. Triangulasi terhadap instrumen dilakukan untuk kesahan dan kebolehpercayaan data. Data kajian ini diperoleh secara kualitatif dan dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan ketiga-tiga peserta kajian memberikan tindak balas yang sangat positif terhadap pembelajaran menggunakan facebook. Dapatan juga menunjukkan bahawa penguasaan murid dalam menulis ayat gramatis Bahagian A bahasa Melayu Penulisan juga meningkat dalam ujian akhir yang dijalankan sekaligus meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan. Kajian ini memberi implikasi kepada murid, ibu bapa, dan bidang pendidikan terutama dari aspek kesediaan guru mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pemudahcaraan pada zaman Revolusi Industri 4.0 ini

    Keberkesanan poster terhadap pembentukan perenggan karangan pelajar sekolah menengah

    No full text
    Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan poster terhadap kemahiran menulis karangan dari segi pembentukan perenggan. Kajian ini berbentuk kajian eksperimen yang dilakukan di sebuah sekolah menengah harian biasa, daerah Ledang. Seramai 40 orang pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu 20 orang pelajar terdiri daripada kumpulan kawalan, manakala 20 orang pelajar pula terdiri daripada kumpulan eksperimen. Instrumen kajian ini menggunakan set soalan penulisan karangan yang telah digubal untuk kedua-dua kumpulan bagi ujian pra dan ujian pasca. Data diperoleh dengan menggunakan ujian-t dua sampel dan dianalisis dengan menggunakan perisian Statistic Package for the Social Science (SPSS 22.0). Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap kemahiran menulis karangan dari segi pembentukan perenggan karangan dalam kalangan pelajar bagi ujian pra antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan dengan nilai-t (38)=0.17, p>0.05. Selepas rawatan diberikan, terdapat perbezaan yang signifikan terhadap kemahiran menulis karangan dari segi pembentukan perenggan karangan dalam kalangan pelajar bagi ujian pasca antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan dengan nilai-t (38)=-11.49, p<0.05. Dapatan kajian membuktikan bahawa penggunaan elemen poster semasa proses pengajaran penulisan karangan dapat meningkatkan tahap pencapaian pelajar terhadap kemahiran menulis karangan dari segi pembentukan perenggan. Implikasi penerapan elemen poster sebagai strategi pembelajaran berpusatkan bahan dapat mendorong pelajar untuk menguasai kemahiran menulis karangan dengan lebih baik dan tersusun malah pelajar mampu untuk menghasilkan sebuah karangan yang berkualiti dari segi pembentukan perenggan serta mempunyai pautan idea untuk diolah bagi membentuk ayat yang gramatis dan lengka

    Analisis pragmatik kesantunan dan ketaksantunan bahasa dalam perbahasan Parlimen 2018

    No full text
    Kajian aspek kesantunan berbahasa dan ketaksantunan berbahasa di Malaysia banyak tertumpu pada komunikasi pelajar dan mahasiswa, komen-komen di laman Facebook dan rancangan bual bicara di televisyen dan novel. Namun, belum ada kajian yang memanfaatkan sidang perbahasan parlimen yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen Malaysia. Walaupun ada yang mengkaji perbahasan parlimen, namun aspek yang dikaji adalah tentang penggunaan frasa yang samar, teknik perdebatan dan teknik perundingan. Justeru, kajian ini mengambil langkah untuk mengkaji aspek kesantunan dan ketaksantunan dalam perbahasan parlimen atas dasar ahli-ahli majlis ini merupakan wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihanraya yang lalu. Sebagai wakil rakyat dengan gelaran ‘yang berhormat’, jangkaan rakyat ialah individu ini berperibadi mulia, berbudi bahasa dan selayaknya dihormati sebagai pemimpin-pemimpin negara. Oleh itu, kajian ini akan memanfaatkan data penyata rasmi perbahasan parlimen bagi mencungkil apakah strategi kesantunan dan ketaksantunan yang digunakan ahli-ahli parlimen sewaktu bersidang. Data dianalisis dengan menggunakan teori Kesantunan Brown dan Levinson (1978, 1987), Model Kesantunan Noriati A. Rashid (2005) dan model ketaksantunan Culpeper (1996, 2005) dan Culpeper et al., (2003). Kajian ini juga dapat memperlihatkan sejauh manakah ahli-ahli majlis parlimen di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan mematuhi aspek kesantunan berbahasa sewaktu berbahas

    Analisis pragmatik strategi kesantunan dan ketaksantunan berkaitan isu belanjawan sulung negara tahun 2018 dalam facebook

    No full text
    Setiap manusia menggunakan bahasa sebagai saluran untuk berhubung. Melalui bahasa, seseorang individu dapat menyampaikan maklumat, idea dan pandangan kepada individu lain. Bagi memastikan keberkesanan komunikasi dicapai oleh individu, penggunaan bahasa yang baik perlu digunakan. Namun begitu, perkembangan dalam bidang teknologi pada masa ini sedikit sebanyak turut mengubah cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi. Bentuk komunikasi virtual dua hala boleh dilakukan tanpa perlu bersemuka secara langsung dengan menggunakan media sosial tertentu sebagai perantara. Pelbagai medium komunikasi yang ada ini menyebabkan masyarakat bebas bersuara tanpa memikirkan etika, adab dan buda bahasa semasa berbahasa. Atas alasan itu, kajian ini dijalankan untuk meneliti sejauhmanakah kesantunan berbahasa rakyat Malaysia dalam memberikan pandangan, idea dan komen tentang sesuatu isu yang melibatkan kepentingan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat di Malaysia. Dalam konteks ini, isu yang dipilih ialah isu belanjawan negara bagi tahun 2018. Kajian ini meneliti aspek kesantunan dan ketidaksantunan komen pengguna Facebook dalam ruangan komen siaran langsung pembentangan belanjawan di laman Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan laman Nurul Izzah Anwar dengan menggunakan teori kesantunan Brown & Levinson (1978, 1987) dan teori ketaksantunan Culpepper (1996). Laman tersebut dipilih berdasarkan jumlah tontonan dan komen pengguna yang tertinggi. Dapatan kajian menunjukkan pengguna cenderung menggunakan bahasa yang tidak santun dibandingkan dengan bahasa yang santun dalam dua laman yang dipilih dan hal ini didorong oleh faktor sosial, ekonomi dan politik yang melingkari pengguna Facebook itu sendiri
    corecore